BANGKOK – Seorang bekas anggota polis yang membunuh sekurang-kurangnya 37 orang, kebanyakannya kanak-kanak dalam serangan di sebuah taska semalam bertindak mengambil nyawanya sendiri selepas diburu polis.
Suspek dipercayai membunuh diri selepas pemburuan besar-besaran dilakukan di wilayah Nong Bua Lamphu.
Polis percaya penyerang bertindak melarikan diri selepas menikam mangsa-mangsanya di tempat kejadian.
Suspek, Panya Kamrab, yang juga bekas anggota polis berusia 34 tahun itu telah dipecat pada Jun lalu kerana kesalahan dadah.
Sehingga kini polis masih belum tahu motif serangan tersebut.
Sekurang-kurangnya 23 kanak-kanak adalah antara yang maut dalam pembunuhan beramai-ramai di bandar Utthai Sawan.
Beberapa mangsa berusia seawal dua tahun diserang ketika sedang tidur.
Sedozen orang yang cedera telah dibawa ke hospital daerah Nong Bua Lamphu.
Guru Besar Nanticha Panchum berkata, anak lelaki penyerang berada di pusat itu setelah sudah sebulan tidak ke sana.
Lelaki itu didakwa pernah menghantar anaknya dan sentiasa sopan, cuma cerewet, katanya.
Tambah Panchum, a biasanya terdapat lebih 90 kanak-kanak di sekolah itu, tetapi pada hari kejadian lebih 20 orang hadir pada hari Khamis kerana cuaca buruk dan bas sekolah rosak.
Polis berkata, suspek telah memasuki pusat penjagaan itu pada waktu tengah hari dan melepaskan tembakan pada empat hingga lima kakitangan termasuk seorang guru yang hamil.
Lelaki itu kemudian memasuki bilik yang dijadikan tempat kanak-kanak tidur.
Ketua Polis, Ketua Polis Damrongsak Kittiprapat dalam kenyataan kepada media berkata, suspek menggunakan pisau untuk melakukan jenayah dengan membunuh beberapa kanak-kanak dan bertindak membunuh sesiapa sahaja yang ditemu di sepanjang jalan dengan pistol dan pisau.
“Dia kemudian pulang ke rumah. Apabila polis mengepung kediamannya, suspek membunuh dirinya,” kata Kittiprapat.
Kamrab, pernah menjadi sarjan polis sebelum dia digantung kerja kerana mengambil dadah pada Januari dan dibuang kerja pada Jun lalu.
Beberapa jam sebelum kejadian, Kamrab telah hadir ke mahkamah kerana didakwa berkaitan penggunaan dan kemungkinan terlibat dalam penjualan methamphetamine.
Keputusan kesnya ditetapkan hari Jumaat. – Agensi