musa puad
Mohd Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi mempersoalkan mengapa sebahagian besar individu dari Pulau Pinang yang didakwa menerima dana lebih RM700 juta daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak didakwa di mahkamah.

Beliau hairan mengapa pemimpin UMNO seperti Tan Sri Shahrir Abdul Samad sahaja yang didakwa.

Mohd. Puad berkata, perkara itu menunjukkan sikap hipokrit Pakatan Harapan (PH) ketika mereka sedang meminta mandat untuk kali kedua daripada rakyat.

“Bocor lagi. UMNO Pulau Pinang buat laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkenaan 350 penama yang didakwa menerima wang lebih RM780 juta daripada 1MDB. Tahniah UMNO Pulau Pinang.

“Majoritinya dari Pulau Pinang. Kenapa Lim Guan Eng selaku Menteri Kewangan ketika itu senyap. Rafizi Ramli pun senyap. Kenapa Tan Sri Tommy Thomas tidak siasat dan dakwa mereka,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya hari ini.

Pada sidang media di sini Selasa lalu, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Shaikh Hussein Mydin berkata, pihaknya akan membuat laporan berhubung dakwaan tersebut di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Putrajaya. – MalaysiaGazette