PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijangka mempengerusikan mesyuarat Jemaah Menteri di bangunan Perdana Putra, di sini, kira-kira jam 10 pagi ini.
Mesyuarat itu diadakan selepas Perdana Menteri menghadap Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, semalam.
Mesyuarat Kabinet hari ini antara lain membincangkan berkenaan Bajet 2023 yang akan dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Dewan Rakyat, jam 4 petang nanti.
Perdana Menteri mungkin meminta penjelasan daripada 12 Menteri Perikatan Nasional (PN) yang mengutus surat kepada YDPA bagi membantah pembubaran Parlimen dan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada tahun ini.
Terdahulu Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tiba di bangunan Putra Perdana kira-kira jam 8.40 pagi tadi.
Ia disusuli Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar; Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan dan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Hadir sama Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Perdana Menteri yang menaiki kenderaan berwarna putih dengan diiringi kereta dan motosikal berkuasa besar tiba di bangunan Putra Perdana, kira-kira jam 9.32 pagi ini.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar mendedahkan Bajet 2023 akan dibentang di Dewan Rakyat pada 7 Oktober.
Menurut beliau, tarikh itu tiga minggu lebih awal berbanding tarikh asal pembentangan Bajet 28 Oktober.
Beliau berkata, tarikh baharu pembentangan Bajet 2023 itu diputuskan dalam mesyuarat mingguan Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri, 26 Ogos lalu. – MalaysiaGazette