rais hussin
Rais Hussin Mohamed Ariff

KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr. Rais Hussin Mohamed Ariff mengumumkan keluar parti mulai hari ini.

Beliau yang juga antara pengasas Bersatu pada 2016 telah menghantar surat rasmi berhubung perkara itu kepada kepada parti semalam.

Bekas Pengerusi Biro Strategi dan Dasar Bersatu itu memberitahu, beliau tidak lagi bergiat aktif dalam parti sejak 2020 selepas menjalani pembedahan jantung selain menumpukan usaha membangunkan badan pemikir, EMIR Research.

“Walaupun saya bukan lagi ahli Bersatu, saya tetap akan berusaha memperjuangkan Malaysia yang lebih baik berdasarkan lima prinsip teras iaitu perubahan, keadilan, keterangkuman, progresif dan wasatiyyah.

“Ini yang mendorong saya bersama-sama mengasaskan Bersatu walaupun berdepan tugas yang besar ketika itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengimbau kembali kenangan ketika Bersatu mula-mula ditubuhkan, Rais Hussin menyifatkan pengalaman yang dilalui banyak mengajarnya tentang politik.

“Ia sememangnya PhD dalam politik dan saya berharap untuk mendokumentasikannya dalam sebuah buku satu hari nanti,” katanya.

Beliau mengakui ada masanya bersikap agresif dan memberi pandangan berbeza namun ia dilakukan demi kepentingan parti.

“Melangkah ke hadapan, walaupun manhaj mungkin berbeza namun maqasid tetap sama berasaskan lima prinsip yang disebutkan sebelum ini,” jelasnya.

Rais Hussin turut merakamkan penghargaan kepada bekas Pengerusi Bersatu, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin atas kepercayaan yang diberikan mereka terhadapnya sebelum ini. – MalaysiaGazette