MELAKA – Seorang penjual sayur berdepan detik cemas sesat selama hampir dua jam di kawasan hutan selepas dipercayai melakukan upacara perubatan batin di Pulau Besar di sini malam tadi.
Wanita berusia 37 tahun itu bagaimanapun ditemui selamat di kawasan batu di berhampiran Gua Yunus pulau terbabit oleh pasukan bomba kira-kira jam 10.45 malam.
Difahamkan, mangsa yang berasal dari Bukit Rambai di sini datang seorang diri ke pulau berkenaan menaiki feri dari Jeti Anjung Batu pagi semalam untuk bermalam di pulau terbabit bagi tujuan perubatan secara batin.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Merlimau, Penolong Penguasa Bomba Mohd Faisal Fuad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.57 malam sebelum sebuah jentera dan bot dengan kekuatan 10 anggota dari BBP Merlimau dan BBP Jasin dikejarkan ke lokasi.
“Selepas kira-kira 30 minit tiba di Pulau Besar dan berdasarkan maklumat mangsa, kita berjaya menemukannya dalam keadaan selamat di kawasan hutan penjuru sisi kiri pulau.
“Kita dimaklumkan, tujuan mangsa ke pulau itu adalah untuk bersiar-siar namun maklumat sebenar belum dapat dipastikan,” katanya ketika ditemui selepas tamat operasi tengah malam tadi.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang tiba di Jeti Anjung Batu pada jam 11.50 malam turut melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan nelayan setempat.
Untuk rekod, Pulau Besar terkenal dengan pelbagai gelaran termasuk ‘Pulau Keramat’ dan ‘Pulau Syirik’ kerana sering dikaitkan dengan aktiviti pemujaan dan khurafat yang dilakukan mereka yang terlalu taksub dengan sesuatu kepercayaan. – MalaysiaGazette.