Bekas Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatannya dalam pemilihan parti itu kali ini.
Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil mengalu-alukan Belanjawan 2023 yang banyak memberi fokus kepada kaum wanita.

Kata Shahrizat yang juga bekas Ketua Wanita UMNO, banyak inisiatif serta peruntukan cukup komprehensif dan merangkumi semua sektor ekonomi.

“Yang sentiasa menjadi kebimbangan saya selama ini adalah bagaimanakah keadaan kaum wanita yang terkesan di masa COVID-19 dengan peningkatan kes-kes keganasan rumah tangga; keperluan lebih masa untuk menjaga anak-anak, ibu bapa dan ahli keluarga uzur sehingga ada yang terpaksa meninggalkan pekerjaan mereka.

“Saya terharu dengan langkah-langkah yang diambil oleh pihak kerajaan dalam membentangkan Bajet yang mengambil kira gender, ia akan membantu kaum wanita dan keluarga-keluarga Malaysia pulih daripada musibah yang melanda kita selama dua tahun,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Shahrizat berkata, Bajet 2023 juga memberi sokongan dalam penjagaan kanak-kanak, namun pelaksanaan efektif adalah komponen penting dalam membongkar potensi bajet dan akan menyokong pemulihan mampan yang disasarkan.

“Kepimpinan kuat diperlukan untuk memastikan ada mekanisme-mekanisme siap sedia untuk kaum wanita mengambil peluang-peluang dalam bajet ini – seperti menghubung mereka dengan peluang pekerjaan dan menggalakkan pihak majikan mengambil pekerja wanita.,” ujarnya. – MalaysiaGazette