ANKARA – Sebuah jambatan yang menghubungkan Crimea dan Rusia terbakar awal pagi ini menyebabkan pergerakan trafik digantung.
Rakaman video dan gambar yang tersebar luas di laman media sosial menunjukkan sebahagian laluan di jambatan itu runtuh dan landasan kereta api terbakar.
Letupan kedengaran sebelum kebakaran bermula, menurut saksi, lapor agensi berita, Anadolu.
Presiden Rusia, Vladimir Putin mengarahkan penubuhan sebuah suruhanjaya bagi menyiasat insiden tersebut, lapor agensi berita, Tass yang memetik Jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov.
Penasihat pemimpin Crimea menerusi akaun Telegram menyatakan menurut laporan awal sebuah tangki simpanan minyak terbakar.
“Gerbang tidak mengalami kerosakan. Adalah terlalu awal untuk memperkatakan menyenai punca insiden. Kerja-kerja pemadaman api sedang dilakukan,” tambah beliau.
Penasihat Kanan Presiden Ukraine, Mykhailo Podolyak berkata, apa yang berlaku di jambatan tersebut hanya ‘permulaan’.
“Semua yang haram perlu dimusnahkan, semua yang dicuri mesti dipulangkan kepada Ukraine, semua yang dicerobohi oleh Rusia perlu diusir,” katanya pada akaun Twitter.
Jambatan Kerch, yang merangkumi jalan raya dan landasan kereta api, yang dibina selepas pembesaran wilayah Rusia di Crimea pada 2014 merupakan laluan bekalan utama bagi Rusia. – Agensi