KUALA LUMPUR – Presiden Indonesia, Joko Widodo mengesahkan negaranya tidak dikenakan hukuman oleh FIFA susulan tragedi 1 Oktober di Stadium Kanjuruhan, Malang, Jawa Timur yang meragut 125 nyawa termasuk kanak-kanak, lapor Kompas.com.
Perkara itu disampaikan oleh Presiden FIFA, Gianni Infantino menerusi surat kepada Joko Widodo yang lebih dikenali sebagai Jokowi.
“Berdasarkan surat tersebut, alhamdulillah bola sepak Indonesia tidak dikenakan sanksi oleh FIFA,” kata Jokowi dalam satu kenyataan.
Jokowi turut memberitahu, Infantino akan melawat Indonesia bulan ini atau November depan.
Beliau berkata Indonesia, FIFA dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) akan bekerjasama mentransformasikan bola sepak negaranya.
Isu yang akan diberi perhatian termasuk jadual pertandingan, standard keselamatan stadium, prosedur operasi standard keselamatan serta sesi libat urus bersama pakar, kelab dan wakil penyokong. – Agensi