Suhaidzra Abd Zahar, 46, disahkan meninggal dunia akibat masalah komplikasi jantung di Tanah Perkuburan Wakaf Lubok China, Alor Gajah, Melaka jam 10.45 pagi tadi.

ALOR GAJAH – Kasih seorang kakak menziarahi kubur yang menjadi rutin setiap minggu berakhir apabila menemui ajal di pusara adiknya di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, wanita itu, Suhaidzra Abd Zahar, 46, disahkan meninggal dunia akibat masalah komplikasi jantung di Tanah Perkuburan Wakaf Lubok China di sini pukul 10.45 pagi tadi.

Menurutnya, si mati bekerja sebagai kerani pejabat peguam di Seremban 2 dan masih bujang itu merupakan anak ketiga daripada sembilan beradik.

“Difahamkan, si mati kerap menziarah kubur adik lelakinya, Mohd Hairi yang meninggal dunia pada 4 November tahun lalu dengan memandu kereta sendiri dari Seremban 2 untuk balik ke kampungnya di Kampung Lubok China.

“Bagaimanapun, hari ini ketika meneruskan rutin bulanannya itu, ada saksi melihat wanita itu tiba-tiba rebah di sebelah kubur adiknya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Arshad Abu

Tambahnya, dengan bantuan orang ramai, kerani itu kemudian di bawa ke Klinik Kesihatan Lubok China sebelum disahkan meninggal dunia dan jenazah di bawa ke Jabatan Forensik Hospital Alor Gajah untuk tindakan lanjut.

“Pegawai perubatan kemudian mengesahkan wanita itu meninggal dunia akibat masalah komplikasi jantung dan siasatan polis juga tidak mengesan sebarang unsur jenayah,” katanya sambil menambah kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast