Datuk Paduka Dr Ibrahim Ali

SETIAP tahun bertarikh 12 Rabiul Awal, kita umat Islam menyambut Hari Keputeraan Jujungan Besar Nabi Muhamad Rasullulah SAW.

Semangat sambutan ini adalah semata-mata untuk memberi kesedaran dan keinsafan kepada kita umat Islam agar sentiasa menghayati dan mengamalkan setiap ajaran dan Sunnah Rasullulah SAW.

Jika kita umat Islam sama ada orang biasa atau pemimpin di segenap lapisan mematuhi dan melaksanakan ajaran dan Sunnah Rasullulah SAW, nescaya umat Islam dan semua negara Islam berada dalam kemakmuran dan kesejahteraan serta menjadikan Islam Agama Allah yang dihormati oleh seluruh manusia sejagat di seantaro dunia.

Malangnya apa yang berlaku, umat Islam dan negara yang kaya raya musnah, di pandang hina, merempat di bumi sendiri dan ada yang hilang negara.

Sebab-sebabnya kerana pemimpin kebanyakannya bersifat hipokrit dan munafik walaupun sebagai orang Islam, kerana kepentingan politik parti atau peribadi dan ada yang menjual bangsa serta memperalatkan agama.

Atheist yang jujur dan ikhlas jauh lebih baik dari si munafik yang hipokrit. Sebab itu banyak pemimpin dunia yang disanjung seperti Angela Merkel, Jacinda Ardern, hatta Xi Jinping lebih disanjung di mata dunia dari kebanyakan pemimpin Islam dari negara Islam. Memalukan, kecuali seorang dua seperti Recep Erdogan.

Di negara kita Malaysia, bangsa Melayu tulen atau “Melayu takrif Perlembagaan” uniknya berbanding dengan bangsa dan kaum lain akidahnya Islam. Sebut sahaja bangsa Melayu di Malaysia agamanya Islam merupakan majoriti rakyat Malaysia.

Maknanya Melayu dan Islam ibarat duit syiling dua permukaan. Permukaan menunjukkan bangsa Melayu dan nilai Islam.

Betapa besar dan tinggi nilainya yang dianugerah oleh Allah SWT kepada Melayu ialah Islam. Walaupun lebih daripada empat abad dijajah, Islam tetap sebagai akidah.  Betapa hebat, kuat dan gagahnya akidah Melayu dipertahankan tidak berubah.

Adakah Islam itu hanya agama ritual seperti yang bukan Islam faham? Sebab itu fahaman liberal dan sekular memisahkan hal yang berkaitan dengan politik, ekonomi dan sosial bukan urusan agama.

Islam bermaksud sejahtera, aman, harmoni dan selamat. Selain itu juga bermaksud taat, patuh, tunduk, pasrah kepada perintah Allah Maha Pencipta. Islam juga Ad-Deen iaitu cara hidup atau pegangan hidup kehidupan dunia dan akhirat.

Wahdatul firk iaitu menyatukan pemikiran, minda, aqal dan hati iaitu kepercayaan, keyakinan, penghayatan yang terkandung dalam Rukun Iman. Syahadah sebagai akidah pengakuan dan perjanjian keesaan Allah Maha Tunggal Tuhan Sekelian Alam dan seisinya sebagai makhluk tanpa bersekutu dengan-Nya.

Pengakuan dan perjanjian sejak di Alam Roh lagi, setelah sampai ke dunia nyata setiap hari lima waktu berjanji dengan Allah segala hidupku, matiku hanya untuk Allah dalam solat (doa iftitah).

Wahdatul amal sempurna aturannya terkandung dalam al-Quran dan Hadith iaitu Rukun Islam bentuk Fardu Ain dan Kifayah. Hubungan makhluk dengan Allah dan hubungan makhluk dengan makhluk (termasuk alam semesta).

Manusia adalah sebaik-baik kejadian jika bertakwa (menegak kebenaran dan mencegah kemungkaran: taat, patuh, tunduk dan pasrah). Bahkan, manusia lebih hina daripada haiwan jika sebaliknya.

Allah SWT berfirman: “Dan Kami tidak mengutus engkau (Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi seluruh alam”. (Surah Al-Abiya’: 107).

Nabi Muhammad SAW Rasul Allah dijadikan contoh sebaik-sebaik makhluk memiliki empat sifat agung iaitu Benar, Amanah, Tabliq dan Fatonah. Inilah merupakan dukungan dan pegangan perjuangan, tuntutan dan gerak kerja parti Putra dalam politik iaitu menegak kebenaran dan menentang kemungkaran.

Apakah yang dimaksudkan kebenaran dalam politik Malaysia? Kita sedang berdepan dengan bencana politik iaitu bergolak, bergaduh, menuduh, berebut, mencerca, memfitnah, melondeh dan segala sifat keji terhambur sesama bangsa dan agama memegang satu akidah disebabkan berebut kuasa politik.

Selain itu yang ternyata kebenaran ialah penyelewengan, salahguna kuasa dan rasuah menjadi amalan di kalangan pemimpin politik fasik dan munafik. Dana negara lesap, tiris dan hilang berbilion dan rakyat terpaksa menanggung hutang RM1.4 trilion. Ekonomi merudum, mata wang terus merosot, harga barangan terus meningkat, ancaman keselamatan makanan dan berbagai lagi masalah yang ditanggung rakyat.

Untuk menutup segala kebenaran ini mereka mencipta persepsi, manipulasi dan falasi, menipu dan berbohong dengan memainkan sentimen Melayu dan menunggang agama.

Amanah ialah kepercayaan dan keyakinan rakyat dan ujian Allah memilih pemimpin di atas muka bumi ini sebagai khalifah. Persoalannya, dalam politik dan tadbir urus negara terdapat mereka yang mengkhianati amanah. Kedudukan dan jawatan yang menjadi rebutan adalah peluang untuk membuat kemungkaran.

Berjanji mereka mungkir, bersumpah perkara mungkar, muslihat berniat jahat untuk mencapai cita-cita politik mereka.

Tergamak peruntukan untuk anak-anak rakyat miskin mendapatkan bekalan tenaga untuk sekolah disakau. Bayaran dibuat berbilion ringgit, kapal tak siap, tidak berhati perut mengorbankan kepentingan keselamatan negara.

Banyak lagi skandal yang melibatkan berbilion ringgit yang belum dan akan terbongkar. Amalan khianati amanah amat bertentangan dengan ajaran Islam.

Tabliq atau menyampaikan sesuatu yang benar, telus dan tulus bukan berbohong, menipu, melindungi perkara yang benar. Menegak kebenaran dan mencegah kemungkaran. Benar tetap benar, salah tetap salah. Bukan mencipta persepsi, falasi dan manipulasi mengelirukan rakyat. Membangkitkan emosi dan sentimen rakyat, muslihat yang licik, fitnah, tohmah dan mencemuh.

Fatonah dan bijaksana adalah di antara empat sifat penting yang patut menjadi amalan dalam kepimpinan menjadi contoh dan teladan. Bijaksana adalah gabungan elemen pemikiran, minda dan hati membentuk peribadi, budi pekerti atau akhlak yang mulia. Bermesyuarah dan bermuafakat dalam wahdatul firk dan amalan mengutamakan ukhwah bagi kepentingan ummah atau rakyat menurut ajaran Islam.

Putra sebagai parti tidak akan kompromi perkara yang menggugat kepentingan bangsa Melayu dan bertentangan dengan ajaran yang sebenar. Putra bukan parti yang menjaja polisi kenyataan yang bersifat retorik dan naratif, tetapi lebih bersifat polisi tindakan cakap serupa bikin. Menentang pemimpin khianat dan munafik.

Artinya: “Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri”. (Surah Ar Rad: 11).

Walaupun pahit untuk dilontarkan, sama-samalah kita terima hakikat dengan tulus ikhlas, jika umat Islam mahu melihatkan Islam dipandang mulia dan umat dapat hidup dengan sejahtera, tolak dan pilihlah parti dan pemimpin yang benar-benar bersih, bermoral dan berintegriti. Cukuplah dengan retorik menang sorak kampung tergadai. Kembali dan hayatilah kepimpinan Nabi Muhammad Rasullulah SAW, insya-Allah kita akan mendapat rahmat dan keberkatan dari Allah SWT.

Ingat Islam, Ingat Melayu, Ingat Putra. Salam Maulidur Rasul. – MalaysiaGazette

Dato Paduka Dr. Ibrahim Ali, Presiden Putra merangkap Timbalan Pengerusi GTA Malaysia

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast