Antara rekaan baju Munawwareen yang diperagakan pada Petunjukan Fesyen Islamik 2022 di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 29 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Jenama fesyen Muslimah tempatan, Munawwareen menyasarkan untuk menjadi peneraju pakaian patuh syariah di negara ini dalam usaha memelihara aurat wanita Muslim dengan sempurna.

Pengasas dan Pengarah Urusan Munawwareen Holdings Sdn. Bhd., Datin Aliza Abu Bakar berkata, bagi merealisasikan matlamat itu, variasi pakaian jenama berkenaan direka dengan potongan longgar dengan pemilhan fabrik yang tidak menampakkan bentuk badan pemakai.

Jelas beliau, ketika ini terdapat banyak pakaian Muslimah yang dipasarkan tetapi konsep ‘muslimah sejati’ itu tidak sepenuhnya dipraktikkan.

“Munawwareen mahu dikenali dengan identiti fesyen Islamik yang berusaha mengikuti landasan syariah.

“Sekarang kita dapat lihat lebih ramai wanita bijak bertesyen meskipun menutup aurat dengan sempurna.

“Jadi Munawwareen ingin menjadi sebahagian daripada gerakan fesyen Islamik yang sentiasa menampilkan rekaan-rekaan segar serta mengikut arus semasa tapa mengetepikan kewajipan memelihara aurat,” katanya.

Pengasas dan Pengarah Urusan Munawwareen Holdings Sdn. Bhd, Datin Aliza Abu Bakar bergambar dengan model yang memperagakan rekaan baru bajunya pada Petunjukan Fesyen Islamik 2022 di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 29 SEPTEMBER 2022.

Beliau berkata demikian pada pertunjukan fesyen anjuran Munawwaren buat julung-julung kalinya yang bertemakan ‘Sempurnakan Hijrah Cinta’ di sini baru-baru ini.

Pada pertunjukkan tersebut, sebanyak 21 rekaan dengan jumlah 36 pakaian dipentaskan dan kesemua rekaan adalah koleksi Munawwareen yang akan dilancarkan secara berperingkat bermula Oktober ini sehingga Mac depan.

Pada masa sama, Munawwareen turut melancarkan lagu rasmi jenamanya berjudul ‘Munawwareen’ yang didendangkan oleh pemenang Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita), Anugerah Industri Muzik ke-23 (AIM 23), Ernie Zakri.

Ernie muncul dalam persalinan eksklusif rekaan Munawwareen dan menyampaikan lagu ciptaan sepenuhnya Hafiz Hamidun secara langsung buat kali pertama.

Kemuncaknya apabila aktres dan supermodel prolifik tanah air, Nasha Aziz melangkah anggun di pentas peragaan dibaluti dres juba berona hijau zamrud sebagai pelengkap pertunjukan fesyen itu.

Koleksi yang dipentaskan telah mula dipasarkan dan boleh didapati di laman web rasmi www.munawwareen.com.my atau Shopee Munawwareen, Munawwareen HQ.

Menjelang pertengahan Oktober 2022, orang ramai juga boleh membuat pembelian di butik Munawwareen yang akan membuka pintu secara rasmi di Putrajaya. – MalaysiaGazette