Ahmad Zahid Hamidi politik
Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA), Tun Dr. Mahathir Mohamad sepatutnya tahu  majoriti orang Melayu kembali kepada UMNO kerana telah sedar kesilapan mereka lakukan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, mereka tidak mahu kesilapan lalu berulang gara-gara terpedaya dengan pembohongan, hasutan, fitnah dan janji-janji manis manifesto bukan kitab suci.

Menurut beliau, mereka telah menyaksikan kerosakan bukan sahaja terhadap ekonomi malah keharmonian hidup masyarakat berbilang bangsa di negara ini akibat kesilapan itu.

“Orang Melayu telah mengerti betapa penting kerajaan yang terbukti berkemampuan, berpengalaman, kukuh dan stabil untuk mentadbir demi kemakmuran tanah air,” katanya dalam laman Facebook miliknya hari ini.

Baru-baru ini, media melaporkan, Dr. Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) percaya  kebanyakan pengundi Melayu kini kembali menyokong UMNO dan parti itu akan memenangi PRU-15.

Beliau turut mendakwa, pengundi Melayu menyokong UMNO kerana ditawarkan wang dan insentif lain.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO meminta seseorang menasihatkan Dr. Mahathir supaya berhenti melemparkan kata-kata yang memperlekehkan kejujuran dan kebijaksanaan orang Melayu.

“Janganlah hanya kerana majoriti orang Melayu tidak lagi mempercayai Pejuang, GTA, Pakatan Harapan (PH) mahupun Perikatan Nasional (PN) maka dituduh pengundi Melayu menyokong UMNO kerana wang.

“Henti-hentikanlah melabelkan orang Melayu secara negatif kerana ia perbuatan yang boleh mencetuskan syak wasangka dalam kalangan rakyat berbilang kaum,” jelasnya.

Ahmad Zahid menganggap ramalan Dr. Mahathir bahawa UMNO akan memenangi PRU-15 bukan sesuatu yang mengejutkan kerana semua pihak sama ada kawan atau lawan UMNO sudah menjangkanya.
.
“Sebab itu bukan baru sekarang lawan UMNO membantah keras PRU-15 diadakan malah sejak UMNO minta diadakan selepas proklamasi darurat tamat tahun lalu,” katanya.

Sementara itu, dalam hantaran berasingan, beliau berkata, beberapa kajian akademik sebelum ini yang memperakui peranan UMNO dalam menegakkan Islam di Malaysia merupakan hakikat sejarah tanah air.

Ahmad Zahid menambah, sejarah pemaktuban Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan adalah dengan mengambil pandangan UMNO kepada Suruhanjaya Reid pada 1956.

“Perkara inilah yang terpateri dalam Perlembagaan Persekutuan yang membentuk negara Malaysia sehingga hari ini.

“Konotasi yang terjemah dalam Perkara 3 (1) juga memupuk sebuah keharmonian masyarakat berbilang bangsa dan agama di tanah air tercinta,” katanya.

Beliau menegaskan, UMNO akan menjulang kepentingan Islam dan umatnya di negara ini dan pada masa yang sama, parti itu terus menghormati hak penganut agama lain untuk mengamalkan agama masing-masing. – MalaysiaGazette