Papae Diakite (kiri). Foto Facebook Melaka United.

KUALA LUMPUR – Melaka United memohon maaf gara-gara segelintir penyokong mereka yang terpalit dengan serangan provokasi perkauman terhadap pemain pertahanan Terengganu, Pape Abdoulaye Diakite.

Permohonan maaf di media sosial itu dibuat kerana sikap kurang bijak yang ditunjukkan oleh penyokong mereka.

“Pihak Melaka United FC dengan ini ingin memohon maaf kepada pihak @FCTerengganu khususnya kepada pemain import pertahanan, Papé Abdoulaye Diakité di atas tindakan atau kata-kata perkauman oleh segelintir penonton di Stadium Hang Jebat, malam tadi (kelmarin).#NoRoomforRacism ,” tulis kelab itu di Twitter mereka.

Kelmarin, perlawanan ke-20 liga di Stadium Hang Jebat itu telah dicemari ekoran sikap tidak bertanggungjawab beberapa penyokong tuan rumah yang menjadikan Diakite kelahiran Senegal itu sebagai sasaran.

Penyokong Melaka United telah mengeluarkan kata-kata berbaur perkauman terhadap Diakite seperti yang didedahkan pemain kelahiran Senegal itu di laman Twitter miliknya.

“Some of melacca fan were calling us “ negro bodo “ which mean stupid black but we are PROUD to be BLACK and until we die . As Muslim that’s a shame. Maby one day in they will understand more about life . #Alhamdulillah#D44,” tulis Diakite.

Pada masa sama, badan penganjur liga bola sepak tempatan, Malaysian Football League (MFL) turut menegaskan bahawa isu serangan perkauman seperti yang terjadi kepada Diakite perlu dijauhkan oleh semua pihak.

“MFL ingin mengulangi dan menegaskan bahawa tiada tempat untuk perkauman di dalam bola sepak.”

“Bola sepak sentiasa menjadi medium untuk menyatukan masyarakat dan bukannya platform untuk menyebarkan kebencian dan diskriminasi.

”MFL serta semua Kelab Liga Malaysia bersama-sama meneruskan perjuangan untuk menendang perkauman daripada bola sepak Malaysia dan kami ingin menggesa semua peminat turut bermain peranan dengan menolak serta tidak menerima perangai sebegitu dengan laporkan tingkah laku diskriminasi kepada Kelab anda jika dilihat.

“Kami bersatu menentang perkauman,” kata MFL. – MalaysiaGazette