Dr. Abd. Rahman (dua dari kanan) menyerahkan replika BAP kepada Dr. Mohd Roslan.

SERDANG – Prihatin kepada golongan memerlukan, Yayasan Bank Rakyat (YBR) menyediakan peruntukan Bantuan Awal Pengajian (BAP) kepada 100 pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM).

Mereka adalah dari keluarga B40 yang menerima manfaat itu sebagai persediaan untuk memulakan pengajian.

Menurut Ahli Lembaga Pemegang Amanah YBR, Datuk Dr. Abd. Rahman Bakri, bantuan itu diharapkan dapat membantu mengurangkan bebanan ditanggung pelajar dan keluarga dalam memulakan pengajian bagi semester yang baru bermula.

“YBR telah memperuntukan RM100,000 kepada pelajar ini yang telah menerima tawaran kemasukan ke UPM untuk melanjutkan pelajaran di peringkat Diploma dan Ijazah Sarjana Muda.

Dr. Abd. Rahman (kanan) dan Dr. Mohd Roslan serta barisan pengurusan YBR meninjau ruangan SIR Corner di UPM.

“Mereka menerima bantuan sebanyak RM1,000 tiap seorang bagi membuat persediaan kemasukan sesi pengajian,” katanya dalam majlis penyerahan BAP YBR dan merasmikan SIR Corner kepada pelajar di UPM di sini petang ini.

Turut hadir, Naib Canselor UPM, Datuk Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman; Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani; Ketua Bahagian Operasi YBR, Mohd Mukhti Abd. Rahman; Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.

Dalam majlis itu, YBR turut menyumbang satu ruangan ilmu yang dikenali sebagai Serambi Ilmu Rakyat (SIR) Corner sebagai satu sudut untuk pelajar mencari bahan menambah ilmu pengetahuan dan kajian.

Menurut Dr. Abd. Rahman, ruangan bagi projek SIR Corner dilengkapi peralatan komputer bagi memudahkan perkongsian maklumat melalui koleksi bahan bacaan digital SIR yang bersesuaian dengan pelajar.

Projek itu, katanya, adalah kolaborasi bersama 18 Institut Pengajian Tinggi (IPT) terpilih di seluruh negara melibatkan peruntukan RM270,000.

“Ini sesuai dengan misi YBR iaitu membantu pelajar dari keluarga kurang berkemampuan supaya dapat melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi,” katanya. – MalaysiaGazette