Yeo Bee Yin

KUALA LUMPUR – Di sebalik spekulasi bahawa beliau akan berundur dan tidak bertanding dalam pilihan raya umum akan datang, Ahli Parlimen Bakri, Yeoh Bee Yin menyatakan hasratnya untuk terus aktif dalam politik.

Bee Yin berkata, beliau masih aktif menghadiri pelbagai aktiviti politik dan berharap boleh bertanding di Johor.

Beliau bagaimanapun menegaskan nasibnya di Johor adakah bergantung kepada pencaturan partinya iaitu DAP.

Ketika diwawancara oleh Kwong Wah Yit Poh, Bee Yin yang juga bekas Menteri Sains, Teknologi, Alam Sekitar, dan Perubahan Cuaca juga menyatakan mahu berganding tangan dengan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam pilihan raya.

Katanya, Bakri adalah berjiran dengan Muar dan tidak kira sama ada Muda dan Pakatan Harapan (PH) akan berpakat atau tidak, PH diharapkan tidak akan menghantar calon untuk mencabar Syed Saddiq.

Ujar Bee Yin lagi, beliau akan berkempen bersama-sama dengan Syed Saddiq untuk kerusi Bakri dan juga Muar.

“Saya berharap PH akan mengguna strategi tambahkan kawan dan kurangkan musuh.

“Walaupun sekiranya Muda tidak menjadi sebahagian daripada PH, kami masih boleh bekerjasama pada tahap tertentu,” katanya.

Sementara itu, Bee Yin berharap kerajaan baharu akan memberi tumpuan kepada isu alam sekitar.

“Sisihkan politik, semua rang undang-undang dan dasar yang baik untuk Malaysia harus diluluskan,” katanya.