Tan Sri Muhyiddin Yassin pada sidang media selepas mesyuarat bersama barisan kepimpinan PN Pahang di Temerloh hari ini.

TEMERLOH –  Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akur dengan keputusan pembubaran Parlimen yang  diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdulllah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, seluruh kepimpinan parti menerima keputusan itu seperti termaktub dalam Perlembagaan.

Demikian reaksi Muhyiddin mengenai pengumuman pembubaran Parlimen berkuatkuasa hari ini seperti diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Bila diumumkan pembubaran Parlimen telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, kami PN menerima keputusan itu berlandaskan Perlembagaan.

“Apa sebab sekali pun bila sudah diumumkan dan apabila selaras dengan Perlembagaan negara kami hormati,” katanya semasa sidang media sejurus mesyuarat bersama barisan kepimpinan PN Pahang di sini hari ini.

Hadir sama pada mesyuarat itu adalah Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, Pesuruhjaya Pas Pahang, Rosli Abdul Jabar dan Pengerusi Gerakan Pahang, Randy Yap Kim Heng.

Tambah Muhyiddin, sebelum ini, pihak PN telah memberi pandangan berkaitan PRU-15 jika ia diadakan pada musim bencana banjir.

“Walaupun sebelum ini PN telah memberikan pandangan kerana situasi semasa ini tidak beberapa sesuai dalam berkemungkinan berlaku banjir dan masalah lain yang dihadapi negara.

“Kita telah memberi pandangan tapi bila kata keputusan telah dicapai YDPA telah berkenan, kita hormati keputusan itu,” jelasnya lagi.

Justeru pihaknya berharap proses PRU-15 tidak terganggu dengan situasi banjir yang berlaku.

“Jadi kita sama-sama berdoa supaya situasi tidak menjadi buruk supaya rakyat melaksanakan tanggungjawab untuk keluar mengundi nanti,” katanya. – MalaysiaGazette