Oh Tong Keong.

GEORGE TOWN – Parti Gerakan menyifatkan pembubaran Parlimen ketika ini tidak wajar atas beberapa faktor termasuk dalam keadaan negara berdepan dengan banjir besar.

Bagaimanapun, Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Oh Tong Keong berkata, semua parti harus menerima hakikat pembubaran Parlimen susulan ia telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan negeri turut membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) serentak atas faktor penjimatan kos.

“Memang kita tak setuju Parlimen dibubarkan kerana rakyat baru hendak memulakan kehidupan selepas pandemik Covid-19 selain faktor sara hidup ketika ini.

“Tetapi jika kita buat PRU-15 dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) secara berasingan ia akan menelan kos yang besar kerana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu membuat dua kali perbelanjaan.

“Selain itu, ia juga boleh mengelirukan warga emas mengapa mereka perlu keluar dua kali untuk mengundi dalam tempoh yang singkat,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Tambah Tong Keong, keputusan pembubaran Parlimen sudah tidak boleh diubah dan beliau mengharapkan kerajaan negeri di bawah Pakatan Harapan turut mengumumkan pembubaran DUN demi rakyat serta negara.

“Gerakan Pulau Pinang sudah bersiap sedia menghadapi PRU-15 dan kita akan cuba mengembalikan mandat rakyat,” katanya.- MalaysiaGazette