Chow Kon Yeow. Kredit Foto - FB Ketua Menteri

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang di bawah pimpinan DAP akan mengadakan mesyuarat petang ini bagi meneliti keputusan sama ada pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dilakukan serentak dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) atau sebaliknya.

Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow berkata, Jawatankuasa DAP Pulau Pinang akan mengadakan mesyuarat ini bagi membincangkan rancangan dan tindakan yang akan diambil susulan pembubaran Parlimen.

Jelasnya, soal calon turut akan dibincang dalam mesyuarat tersebut dan keutamaan membabitkan calon Parlimen.

“Kita difahamkan pengumuman mengenai pembubaran akan dibuat petang ini. Oleh itu, sebagai maklum balas pantas Jawatankuasa DAP negeri akan bermesyuarat pada petang ini juga.

Not with standing pengumuman sebelum ini, kita akan lihat sama ada DUN akan dibubarkan dalam tempoh yang sama.

“Kita akan lihat dan buat keputusan dalam mesyuarat petang ini sama ada perlu mengekalkan keputusan sebelum ini atau sebaliknya,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Kon Yeow juga  menyifatkan pembubaran Parlimen bukan satu kejutan berdasarkan keadaan situasi politik semasa sejak seminggu lalu.

“Walaupun ada makluman (pembubaran Parlimen) di media sosial yang mana kesahihannya dikhuatiri namun ada banyak gerak geri dan tindakan menunjukkan hari ini akan sampai juga,” jelas beliau. – MalaysiaGazette