Seorang lelaki memegang topeng bendera Uyghur semasa hadir pada penyerahan memorandum kemanusiaan kepada Kedutaan Besar China berkaitan isu Uyghur bersama Sekretariat Solidariti Bersama Uyghur di perkarangan Kedutaan Besar China, Jalan Ampang, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 24 DISEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Tindakan Malaysia untuk mengundi ‘berkecuali’ dalam pengundian Majlis Hak Asasi Manusia PBB (UNHRC) pada 6 Oktober lalu amat mengecewakan rakyat di negara ini yang cintakan perdamaian dan menentang kezaliman.

Presiden Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Badlishah Sham Baharin kesal dengan pendirian kerajaan Malaysia yang berkecuali dalam isu ini yang menyebabkan isu yang dikemukakan di perhimpunan tersebut tidak dapat dibahaskan kerana tidak cukup kuorum negara yang menyokong.

Menurutnya, isu Uyghur bukan isu yang baharu tetapi sudah dibicarakan secara terbuka oleh masyarakat dunia termasuk badan badan NGO antarabangsa seperti Amnesty International dan Human Right Watch (HRW).

Bekas Ketua UNHCR, Michelle Bachelet telah mengeluarkan laporan kemungkinan jenayah kemanusiaan terhadap etnik Uyghur dan minoriti Islam lain di wilayah tersebut dilakukan oleh Kerajaan China.

Malah, Pengarah Perkhidmatan Antarabangsa untuk Hak Asasi Manusia (ISHR), Phil Lynch berkata, adalah ‘memalukan’ apabila “negara-negara Islam telah gagal untuk menyokong PBB mengenai pencabulan hak terhadap umat Islam Uyghur.”

”Rakyat Uyghur telah lama menderita sejak tahun 1950an lagi apabila kerajaan China memutuskan untuk memasukkan wilayah Turkistan Timur menjadi wilayahnya dan diberi nama Xinjiang.

”Walaupun Kerajaan China memberikan kuasa autonomi kepada wilayah tersebut seawal tahun 1953, namun ia tidak pernah dilaksanakan. Ia hanya propaganda China untuk menutup mata pihak luar terhadap penjajahannya ke atas Turkistan Timur,” katanya sambil menambah dianggarkan lebih enam juta warga Uyghur diletakkan di bawah penjara terbuka.

Selain memenjarakan, identiti warga Uyghur cuba dihapuskan dengan memindahkan anak-anak Uyghur ke luar dari wilayah mereka selain memindahkan rakyat China ke wilayah Turkistan Timur itu untuk menghilangkan identiti warga Uyghur.

Media BBC juga menyatakan bahawa wanita mereka dirogol sementara lelaki mereka dibunuh atau dipenjara amat jelas menunjukkan jenayah kemanusiaan berlaku terhadap warga Uyghur.

Lantaran itu, Ikram menggesa agar jenayah kemanusiaan terhadap warga Uyghur ini diberikan pembelaan sewajarnya oleh masyarakat antarabangsa.

Ternyata daripada undian yang dibuat, negara-negara yang tidak menyokong agar isu ini dibahaskan adalah negara-negara yang Kerajaan China menjadi pemiutang atau pemberi hutang kepada mereka, ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast