Keadaan ruang hadapan Pejabat Pejuang Wilayah Persekutuan tanpa kehadiran kepimpinan tertinggi Parti Pejuang Tanah Air yang hadir susulan mesyuarat tergempar cawangan parlimen Titiwangsa di Setapak, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 10 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – Tiada sebarang mesyuarat tergempar Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Wilayah Persekutuan melibatkan Tun Dr Mahathir Mohamad diadakan di Taman Danau Kota di sini malam ini.

Ketua Pejuang Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan memberitahu, parti itu hanya mengadakan mesyuarat melibatkan 20 cawangan dan Parlimen Titiwangsa secara tertutup.

“Pejuang Wilayah Persekutuan tidak pernah mengeluarkan sebarang jemputan kepada media mahu orang ramai tentang mesyuarat tergempar.

“Malah saya sendiri tidak terlibat dengan mesyuarat tersebut. Mesyuarat ini lebih kepada persediaan jentera pilihan raya Pejuang bagi cawangan dan Parlimen Titiwangsa.

“Info mengenai jemputan mesyuarat tergempar ini adalah palsu,” katanya kepada MalaysiaGazette malam ini.

Terdahulu wakil media menerima jemputan media untuk membuat lintas langsung Mesyuarat Tergempar Parti Pejuang Tanah Air (Titiwangsa) PRU15 di pejabat Pejuang Wilayah Persekutuan di Taman Danau Kota malam ini.

Tinjauan MalaysiaGazette ke pejabat Pejuang Titiwangsa malam ini mendapati hanya ketua-ketua cawangan dan Parlimen Titiwangsa sahaja yang hadir.

Bagaimanapun petugas media tidak dibenarkan masuk kerana mesyuarat itu dibuat secara tertutup.

Sementara itu, Khairuddin memberitahu  Pejuang dan Gerakan Tanah Air (GTA) Wilayah Persekutuan akan mengadakan mesyuarat pada Rabu ini.

“Mesyuarat Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Pejuang Wilayah Persekutuan bermula dari pukul 2 petang sehingga 4.30 petang.

“Manakala mesyuarat tergempar GTA Wilayah Persekutuan pula bermula dari 5 petang sehingga 7 malam,” katanya.

Jelasnya lagi, mesyuarat tergempar itu untuk merancang persediaan rapi bagi mewujudkan jentera PRU-15 peringkat Wilayah Persekutuan.

“Apa pun Pejuang dan GTA Wilayah Persekutuan sudah bersedia untuk menghadapi PRU-15. Insya-Allah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette