KUANTAN – Susulan pembubaran Parlimen, kerajaan Pahang setakat ini masih belum mendapat perkenan pihak istana untuk menghadap Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah.
Menteri Besarnya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, perkara tersebut masih dalam proses bagi mendapatkan perkenan berkaitan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang.
“Masih belum dapat tarikh menghadap Tuanku lagi, belum dapat perkenan mengadap lagi, ia dalam proses. Belum dapat perkenan tuanku, mana boleh saya mendahului tuanku,” katanya ringkas.
ARTIKEL BERKAITAN :
DUN Pahang bersidang sehingga pembubarannya dapat perkenan Pemangku Raja
Bersatu akur bubar Parlimen, hormati YDPA – Muhyiddin
Wan Rosdy berkata demikian ketika ditemui media di perkarangan Wisma Sri Pahang sebelum meneruskan Sidang DUN Pahang.
Pada keputusan PRU-14 lalu, Pahang ditadbir oleh Barisan Nasional (BN) di mana terdapat 42 kerusi DUN dengan kedudukan BN menang 25 kerusi, Pakatan Harapan (sembilan) dan Pas (lapan).
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen berkuatkuasa 10 Oktober 2022 bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) setelah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. – MalaysiaGazette