Chow Kon Yeow (tengah) ketika ditemui pemberita di Wisma DAP Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow masih mengunci mulut mengenai status pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu meskipun keputusan mengenainya dipercayai telah dicapai selepas mesyuarat Pakatan Harapan Negeri hari ini.

Sebaliknya, beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, keputusan yang dicapai menerusi mesyuarat tersebut akan dirujuk dengan pimpinan pusat parti masing-masing sebelum ia diumumkan secara rasmi.

“Ketetapan yang dibuat hari ini selaras dengan keputusan DAP negeri yang akan merujuk Jawatan Kuasa Tertinggi Parti (CEC) DAP yang akan bermesyuarat malam ini.

“Setiap parti akan bermesyuarat bagi membincangkan langkah parti susulan pembubaran parlimen yang dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam.

“Malah, dalam tempoh pilihan raya setiap hari boleh diadakan beberapa jenis mesyuarat bagi mencapai keputusan menggerakkan langkah seterusnya,”katanya kepada pemberita ketika ditemui di pekarangan Wisma DAP negeri di Jalan Ranggon di sini, hari ini.

Kon Yeow (tengah) mempengerusikan mesyuarat PH Pulau Pinang di Wisma DAP negeri hari ini.

Terdahulu, Kon Yeow mempengerusikan mesyuarat Majlis PH Pulau Pinang bagi membincangkan isu pembubaran DUN susulan perdana menteri mengumumkan pembubaran Parlimen semalam.

Mengulas mengenai kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke bahawa tiga negeri kekal tidak membubarkan DUN,Kon Yeow berkata setakat ini pendirian tersebut masih sama namun PH negeri tetap akan merujuk kepada pimpinan Pusat.

“Kita akan rujuk kepada pimpinan pusat untuk arahan keputusan, semua akan dihujahkan dalam mesyuarat di peringkat pusat malam ini,” jelas Kon Yeow.

Semalam Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, parti itu menghormati keputusan membubarkan Parlimen namun kekal dengan pendirian untuk tidak membubarkan DUN melibatkan tiga negeri di bawah pentadbiran Pakatan Harapan. – MalaysiaGazette