KUALA LUMPUR – Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli kecewa pembubaran Parlimen berlaku di kala rakyat berdepan dengan musibah banjir namun terpaksa bersedia menghadapi pilihan raya umum.
Malah kata mantan aktivis mahasiswa itu mendakwa pilihan raya umum kali ini satu bentuk ‘paksaan’ ke atas Pakatan Harapan (PH) yang tidak pernah bersetuju ia diadakan dalam masa terdekat.
“Apa boleh buat, nasi sudah jadi bubur. Pembubaran sudah berlaku dan sudah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.
“Saya lebih runsing malah keseluruhan parti juga gusar apabila kita fikir tentang musibah banjir yang sudah berlaku ketika ini.
“Ada dua tiga tanggungjawab yang perlu kita galas (PH) dan juga kerajaan-kerajaan negeri bawah kita iaitu selain berdepan dengan pilihan raya, kita juga perlu berdepan dengan isu banjir. Banyak tempat sudah mula dinaiki air.
“Jadi kerisauan kita siapa yang hendak gerakkan kerja-kerja bencana kalau bukan kerajaan negeri, parti politik dan NGO. Jangan pula kita abaikan isu ini kelak,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Khas Majlis Pimpinan Pusat PKR di Petaling Jaya malam tadi.
Sambung Adam, pembubaran Parlimen juga bukanlah kehendak rakyat yang sedang berdepan dengan pelbagai isu dalam kehidupan seharian mereka.
“Pembubaran hari ini adalah yang tidak menzahirkan apa yang rakyat hendak. Kita cukup yakin rakyat sebenarnya mahukan sebuah persediaan menghadapi bencana apatah lagi trauma setelah hadapi banjir teruk tahun-tahun sebelum ini.
“Kita jangka tahun ini lebih teruk termasuk isu lain seperti kenaikan harga, inflasi, keadaan ekonomi semasa yang begitu merisaukan. Pembubaran ini bukanlah sesuatu yang mudah diterima oleh masyarakat tetapi kita harus terima hakikat dan hadapinya demi rakyat kita di luar sana,” katanya.
Sebelum itu, Presiden PKR merangkap Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga telah mendakwa pembubaran Parlimen satu penghinaan kepada rakyat yang kini terbeban dengan pelbagai perkara dari segi ekonomi sehinggalah iklim buruk. – MalaysiaGazette

















jika rasa tak mampu ,belum siap sedia,menghadapi cabaran,jgn menyertai pru…