Md Amin (kanan) dan Norkhalid bertemu pelajar baharu yang sedang mendaftar di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah.

TANJUNG MALIM – Lebih 3,000 calon yang berjaya ditawarkan memasuki Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mendaftar di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City, Sabtu lalu.

Kedatangan pelajar-pelajar baharu ini disambut dan disantuni oleh Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff  mereka dengan kata-kata semangat agar menjadi pelajar UPSI yang aktif mengharumkan nama universiti.

Beliau turut meluangkan masa bersama keluarga yang datang ke Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City seawal pagi dari seluruh pelosok negara untuk meraikan kejayaan anak-anak kesayangan mereka melanjutkan pengajian di UPSI.

”Saya terharu dengan kesungguhan ibu bapa dan berharap semua anda yang baru menjejakkan kaki kea lam kampus ini tidak menghampakan harapan ibu bapa yang datang dari pelbagai latar belakang ,” katanya.

Semalam lebih 3,000 pelajar lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), diploma serta matrikulasi mendaftar di Dewan Tuanku Canselor dan menginap di Kolej Harun Aminurrashid, Kolej Ungku Omar, Kolej Aminuddin Baki, serta Blok Antarabangsa.

Pelajar baharu itu akan mengikuti pelbagai pengajian di Sembilan fakulti iaitu Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Fakulti Muzik dan Seni Persembahan, Fakulti Pengurusan dan Ekonomi, Fakulti Pembangunan Manusia, Fakulti Sains Kemanusiaan, Fakulti Seni, Komputeran dan Industri Kreatif, Fakulti Sains dan Matematik, Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan serta Fakulti Teknikal dan Vokasional.

Timbalan Naib Canselor(Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dr Norkhalid Salimin
yang turut mengiringi Naib Canselor berharap pelajar baharu memelihara akhlak walaupun memburu pencapaian akademik yang cemerlang sepanjang pengajian.

“Manfaatkanlah segala kemudahan yang disediakan untuk keselesaan semua pelajar
di kedua-dua kampus iaitu Kampus Sultan Abdul Jalil Shah (KSAJS) yang berkeluasan 85
ekar dan Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS) yang berkeluasan kira-kira 850 ekar,”
katanya.- MalaysiaGazette