Datuk Saifuddin Abdullah Undi 18 GE15 General Election voters vote
Saifuddin Abdullah

KUALA LUMPUR – Tindakan 12 orang Menteri Perikatan Nasional (PN) mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad baru-baru ini hanyalah bagi menyuarakan kebimbangan rakyat agar Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak dilaksanakan dalam musim tengkujuh, yang mana berkemungkinan berlaku banjir.

Pengerusi Badan Pimpinan Negeri Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, rakyat mahu kerajaan memberi sepenuh tumpuan kepada langkah-langkah pemulihan ekonomi, mengawal kenaikan harga barang dan menyediakan peluang pekerjaan.

Menurutnya, PN akan terus mendahulukan kepentingan rakyat, terutamanya dalam tempoh yang mencabar ini.

“Ini merupakan antara sebab mengapa Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah melancarkan Skuad Prihatin Nasional khusus untuk berdepan bencana banjir semasa Majlis Pelancaran Jentera Perikatan Nasional Pahang baru-baru ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

ARTIKEL BERKAITAN:  Tindakan 12 menteri utus surat kepada Agong jejas keharmonian dalam Kabinet – Ismail Sabri

Kerajaan masih absah meskipun 12 menteri PN tolak PRU awal – PM

Tindakan 12 menteri hantar surat kepada Agong dilihat tak wajar

Saifuddin berkata, beliau yakin rakyat mengetahui alasan sebenar mengapa Perdana Menteri mahu mengadakan PRU15 dalam masa terdekat.

Ia tidak lain berpunca daripada tekanan dan desakan oleh Presiden UMNO.

Justeru, tambahnya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob usahlah mengalihkan perhatian rakyat daripada masalah yang dihadapinya itu. – MalaysiaGazette