Hamzah Zainuddin

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas dijangka membuat pertukaran kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN)  dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pertukaran kerusi berkenaan adalah satu strategi yang diambil gabungan itu untuk memenangi pilihan raya umum kali ini.

“Selama kami berbincang dengan parti komponen (PN) dalam menghadapi PRU-15 ini, perkara penting adalah untuk memastikan pemimpin semua komponen boleh menang kawasan yang akan kita akan calonkan nanti.

“Pertukaran kerusi dahulunya mungkin dimenangi oleh Bersatu, kini mungkin Pas perlukannya. Ianya bagi menentukan pemimpin berkenaan boleh menang di kawasan-kawasan itu,” kata Hamzah.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Taklimat Op Banjir di Bukit Aman hari ini.

Ditanya sama ada Pas benar-benar komited untuk terus bersama PN menghadapi PRU-15, Hamzah menjelaskan, parti Islam itu masih setia bersama mereka.

“Rundingan adalah sesuatu strategi yang diperlukan dalam pilihan raya. Ia adalah sesuatu isu yang berbeza,” tegasnya lagi.

Sebelum ini pada 23 September lalu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pengagihan kerusi membabitkan parti komponen PN bagi menghadapi PRU-15 hampir selesai dan akan dimuktamadkan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast