KUALA LUMPUR – Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) bersetuju tema utama manifesto bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 PRU-15 adalah ‘Kestabilan dan Kemakmuran’.
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, BN komited untuk memastikan kebajikan rakyat diperkasa dan kedaulatan negara terus terpelihara dengan penawaran polisi-polisi bersifat prorakyat dalam memacu pembangunan sosioekonomi yang mapan dan menyeluruh.
Selain itu, tambah beliau, Dewan Tertinggi BN yang bermesyuarat malam ini turut mengarahkan persiapan semua jentera parti bagi menghadapi PRU-15 di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) komponen BN.
“Dewan Tertinggi mengarahkan Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Bahagian menjalankan mesyuarat koordinasi gerak kerja jentera bagi menghadapi PRU-15.
“Perundingan pembahagian kerusi antara parti-parti komponen dan Friends of BN akan dimuktamadkan.
“Dewan Tertinggi bersetuju dengan usaha-usaha untuk mengetengahkan calon-calon baharu yang mempunyai nilai winnable, acceptable & likeable (WALI) dan berazam untuk mencapai 30 peratus calon wanita,” katanya dalam kenyataan media yang diedarkan selepas mesyuarat tersebut.
Mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang dipengerusikan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Menara Dato’ Onn di sini turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Yang turut hadir, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan; Ketua Wanita, Datuk Dr. Noraini Ahmad; Ketua Pemuda, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki; Setiausaha Agung, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dan Bendahari Agung, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Pemimpin-pemimpin parti komponen yang hadir ialah Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong dan timbalannya, Datuk Dr. Mah Hang Soon serta Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan.
Zambry berkata, Dewan Tertinggi BN menjunjung kasih Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas perkenan Seri Paduka untuk membubarkan Parlimen selaras dengan kuasa-kuasa baginda sebagaimana termaktub di bawah Perkara 40(2)(b) dan Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan. – MalaysiaGazette