PETALING JAYA – Pakatan Harapan (PH) masih terikat dengan keputusan Majlis Presiden berhubung pendiriannya untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) melibatkan negeri-negeri di bawah pentadbirannya pada tahun ini.
Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bagaimanapun keputusan itu masih boleh dibincangkan semula dengan kepimpinan utama parti komponen PH.
“Kita masih terikat dengan keputusan Majlis Presiden tetapi kita telah minta supaya syarat terperinci dibincang semula dengan kepimpinan parti supaya ada persefahaman.
“Bincang semula dengan semua parti dan negeri-negeri dengan kebijaksanaan untuk membuat keputusan bersama.
“Bagaimanapun ia tidak perlu kepada satu lagi mesyuarat PH,” katanya kepada pemberita di ibu pejabat PKR di sini hari ini.
Semalam, Pengarah Komunikasi PH, Fahmi Fadzil berkata, Majlis Presiden telah mendengar dan meneliti permohonan dibawa oleh pimpinan Pulau Pinang untuk membubarkan DUN bagi membolehkan pilihan raya negeri berjalan serentak dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Beliau menjangka Majlis Presiden PH akan membuat ketetapan tentang perkara itu dalam tempoh antara 24 hingga 48 jam akan datang.
Dalam pada itu, Anwar berkata, dalam semua perkara besar, ia perlu dibawa ke Majlis Presiden PH untuk dibincangkan.
“Kemudian Majlis Presiden PH akan memberikan kerangka dan dasar utama yang disebut garis besar untuk dibawa kepada pimpinan parti masing-masing
“Ini kerana (bubar DUN) melibatkan Keadilan (PKR) dan DAP, setakat ini kami terikat dengan keputusan dulu tapi masih ada perbincangan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette