KUALA LUMPUR — Keputusan mengenai status pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang akan diputuskan melalui mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) esok.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, ia berikutan permintaan DAP Pulau Pinang untuk mengkaji semula pembubaran DUN di negeri itu bagi membolehkan pilihan raya peringkat negeri diadakan serentak dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Terdahulu perkara itu dibahaskan di peringkat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) dalam mesyuarat sama, dan akan dibawa ke Majlis Presiden PH untuk diputuskan esok.

“DAP Pulau Pinang sudah hantar cadangan supaya pertimbangan semula dibuat selepas menerima pandangan orang ramai supaya pilihan raya diadakan secara serentak.

“Setiap negeri mempunyai keadaan berlainan. Selangor dan Negeri Sembilan berbeza dengan Pulau Pinang,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat CEC DAP di sini, malam ini.

Sementara itu, Loke berkata, CEC DAP memberikan mandat penuh kepada 5 Man Comittee untuk memutuskan senarai calon yang bakal mewakili parti itu pada PRU-15 akan datang.

Untuk itu, semua jawatankuasa DAP peringkat negeri diberikan tempoh sehingga 17 Oktober, iaitu Isnin depan untuk mengemukakan senarai calon masing-masing.

5 Man Committee itu terdiri daripada Anthony Loke, Pengerusinya Lim Guan Eng, Timbalannya, Gobind Singh Deo serta dua Naib Pengerusi, M. Kulasegaran dan Nga Kor Ming.

Di mesyuarat sama Nga Kor Ming yang juga Pengerusi DAP Perak ketika ditemui berkata, beliau dimaklumkan DUN Perak akan dibubarkan esok namun meminta media menunggu maklumat lanjut. – MalaysiaGazette