Zahid perhimpunan
Ahmad Zahid Hamidi berucap merasmikan Perhimpunan Agung MIC ke-76 di di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 10 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kenyataannya dalam Perhimpunan Agung MIC baru-baru ini berhubung nasib pemimpin-pemimpin parti sekiranya mereka kalah Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) telah disalah tafsir.

Presiden UMNO itu berkata, apa yang beliau maksudkan adalah pendakwaan terpilih yang bermotif politik.

“Pendakwaan yang sengaja direka dan diada-adakan oleh musuh BN untuk menzalimi, merosakkan dan menjatuhkan imej pemimpin BN sekiranya mereka menang PRU-15 nanti.

“Sepertimana yang mereka lakukan sejurus memegang kuasa pentadbiran negara selepas menang PRU-14 pada 9 Mei 2018,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA), Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini yang mendakwa, kenyataannya seolah-olah satu pengakuan pemimpin-pemimpin UMNO bersalah dan pertandingan parti itu dalam PRU-15 adalah untuk menyelamatkan mereka daripada dibicara di mahkamah dan dihukum.

Ahmad Zahid menambah, intipatinya adalah pendakwaan politik, pendakwaan terpilih, pendakwaan zalim yang penuh dengan muslihat serta tipu daya demi memperkukuhkan kuasa.

Namun, beliau memberitahu, ia akan menjadi suci dan selamat jika bersengkongkol dan bersama dengan mereka.

“Jadi tidak hairanlah ada yang sanggup lompat parti untuk menyelamatkan diri agar terus suci,” jelasnya.

Ahmad Zahid berkata, tidak perlu beliau menjelaskan sebutir-sebutir dalam perhimpunan BN kerana pimpinan, ahli BN malah majoriti rakyat memahami mesej yang disampaikan.

Beliau juga meminta propaganda seperti itu dihentikan kerana ia tidak merungkai kebenaran iaitu lawan BN yang sedang takut kepada bayang-bayang sendiri.

“Lawan BN sedang ketakutan kepada istilah what you give you get back selepas kezaliman yang mereka lakukan semasa berkuasa.

“Sebab itu lawan BN sangat membantah PRU-15 diadakan kerana menjangkakan BN akan kembali mentadbir negara dan membalas dendam,” katanya.

Seperti yang telah dinyatakan berulang kali oleh Ahmad Zahid, beliau tidak menyimpan sifat dendam sentiasa memaafkan tetapi tidak melupakan.

“Justeru, lawan BN dan rakan-rakan subahatnya sila tenang-tenang sahaja. PRU-15 adalah tentang mengembalikan hak rakyat untuk memilih.

“PRU-15 adalah tentang usaha rakyat mengembalikan kestabilan dan kemakmuran di bumi Malaysia. Yakini rakyat buat pilihan terbaik. Insya-Allah,” katanya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Ucapan Zahid rasmi AGM MIC sengaja diputar belit – Vigneswaran

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast