KUANTAN – Sekumpulan wanita dan mak nyah warga asing yang disyaki menjalankan aktiviti tidak bermoral di ‘Lorong Kunyit’, di sini, sempat melarikan diri setelah menghidu kehadiran pegawai penguatkuasa dalam serbuan yang dilakukan pelbagai agensi, malam tadi.

Bagaimanapun, seorang wanita warga Thailand ditahan kerana kesalahan memasuki negara tanpa kebenaran.

Operasi bersepadu yang bermula kira-kira jam 9 malam itu dijalankan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Nor Kamawati Kamal berkata, operasi tersebut digerakkan untuk membanteras aktiviti tidak bermoral yang sering diperkatakan di sekitar Kuantan.

Ketika tinjauan penguatkuasa di Lorong Pasar 1, di sini, pada awalnya mendapati terdapat beberapa orang mak nyah dan wanita warga asing baru sahaja memulakan urus niaga di lorong itu.

Bagaimanapun, mereka seolah-olah dapat menghidu kehadiran pihak penguatkuasa dan ghaib dalam sekelip mata.

Penguatkuasa bertindak menyerbu salah sebuah rumah kedai tiga tingkat di lorong terbabit yang dikenal pasti menjadi sarang mak nyah, namun ia telah pun dikosongkan.

Wartawan MalaysiaGazette yang menyertai operasi tersebut mendapati terdapat makanan yang belum berusik serta nasi yang masih dimasak.

Terdapat 10 ruang bilik kecil yang telah diubahsuai di tingkat 1, enam bilik di tingkat atas beserta ruangan dapur dan ruang tamu yang dikongsi penghuninya.

Sementara itu, Nor Kamawati dalam kenyataannya hari ini memberi jaminan pemantauan dan operasi membanteras aktiviti tidak bermoral itu akan dipergiat dari semasa ke semasa. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast