PETALING JAYA – Status Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang dan Perak sama ada dibubar atau sebaliknya merupakan antara agenda mesyuarat tergempar Pakatan Harapan (PH) hari ini.
MalaysiaGazette juga difahamkan status permohonan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) untuk menyertai blok pembangkang itu bakal dibincangkan dalam mesyuarat yang dijangka berlangsung kira-kira dua jam.
Mesyuarat PH itu dipercayai diadakan susulan tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen pada Isnin lalu bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)
Terdahulu Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar antara pimpinan PH yang terawal tiba di ibu pejabat PKR, di Merchant Square, di sini, kira-kira jam 2.07 petang tadi.
Ia disusuli Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menaiki kenderaan berwarna hitam pada jam 2.10 petang ini.
Selang setengah jam kemudian kelihatan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli untuk menghadiri mesyuarat tergempar itu kira-kira jam 2.40 petang ini.
Hadir sama Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan bekas Menteri Sumber Manusia, M.Kulasegaran yang tiba kira-kira jam 2.43 petang.
Selain itu, turut hadir Pengerusi DAP Selangor, Gobind Singh Deo; Pengarah Pilihan Raya Amanah, Datuk Dr Hatta Mohd Ramli; Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Pengerusi DAP Kebangsaan, Lim Guan Eng.
Turut kelihatan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming; Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Sallahuddin Ayub dan Pengarah Strategi Amanah, Datuk Dr Dzulkelfy Ahmad. – MalaysiaGazette