KUALA LUMPUR – Malaysia Genomics Resource Center (MGRC) menjalinkan kerjasama kerjasama dengan Institut Kesihatan Negara, Malaysia (NIH), dalam menyediakan rangka kerja dalam penyelidikan perubatan yang berkaitan dengan genomik dan biofarmaseutikal.

Kerjasama itu dilakukan menerusi anak syarikatnya milik penuhnya MGRC Therapeutics Sdn Bhd (MGRC-T).

NIH merupakan cabang penyelidikan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia, terdiri daripada enam institut penyelidikan yang memberi tumpuan kepada penyelidikan bioperubatan, kesihatan awam dan epidemiologi, penyelidikan klinikal, penyelidikan kesihatan tingkah laku, pengurusan kesihatan dan dasar kesihatan.

Pengarah Eksekutif MGRC, Datuk Alvin Joseph Nesakumar berkata, perjanjian kerjasama ini membolehkan pihaknya meneroka cara kerjasama dengan NIH untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan genomik dan biofarmaseutikal yang boleh menyumbang kepada peningkatan kesihatan rakyat.

“Kami menganggap kerjasama ini sebagai langkah baik dalam menggalak dan mempromosikan penyelidikan dalam genomik dan biofarmaseutikal yang akan memberi manfaat bersama.” katanya di sini hari ini.

Melalui kerjasama ini, NIH diberi mandat untuk menjalankan penyelidikan kesihatan berimpak tinggi untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat.

Penyelidikan kesihatan yang dijalankan oleh NIH adalah selaras dengan Bidang Keutamaan Penyelidikan Kesihatan bagi setiap Rancangan Malaysia lima tahun.

Manakala MGRC-T mengkhususkan perkhidmatan genomik dan biofarmaseutikal dengan pengetahuan proprietari dan harta intelek yang berkaitan dengan penyelidikan, pembangunan dan pemprosesan ujian saringan genetik serta pembuatan terapi sel, termasuk imunoterapi untuk pelbagai jenis kanser.

Pengurus NIH Dr Asmaliza Ismail berkata, berminat untuk bekerjasama dengan pakar seperti Malaysian Genomic untuk bertukar-tukar ilmu dalam pelbagai bidang penyelidikan perubatan.

“Kami percaya dengan bekerja dan mengumpulkan sumber bersama-sama, kami boleh merapatkan jurang dalam kepakaran dan pengalaman,” katanya.

Di bawah perjanjian ini, kedua pihak akan meneroka latihan bersama dalam bidang penyelidikan perubatan, bertukar-tukar bahan penyelidikan, dan mengambil bahagian dalam pembentangan dan penerbitan data saintifik. – MalaysiaGazette