M. Saravanan.

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan hari ini menempelak pembangkang kerana ketandusan modal sehingga terpaksa menghasut masyarakat India untuk mempercayai dakyah terbaru Pilihan Raya Umum ke-15 akan diadakan ketika sambutan Deepavali.

Kata Menteri Sumber Manusia merangkap Ahli Parlimen Tanah itu, beliau tidak memahami sikap pembangkang yang sanggup berbuat apa sahaja untuk menghasut bagi memastikan undi itu diberikan kepada mereka.

“Macam-macam dakyah yang di sebarkan oleh pembangkang kerana terdesak untuk menang dan berkuasa, tapi janganlah sampai fikir masyarakat kita akan tertipu dan terpedaya. Mana ada PRU ketika sambutan Deepavali?

“Saya sebenarnya tidak mahu langsung jawab balik kepada pembohongan seperti ini, tetapi kerana saya di soal pemberita saya jawablah. Tidak ada PRU. Kita tunggu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menentukan tarikh-tarikh PRU nanti.

“Masyarakat India di negara ini boleh sambut perayaan Deepavali tanpa bimbang adanya keperluan untuk keluar mengundi atau apa-apa sahaja cerita donggeng oleh pembangkang.

“Sebenarnya pembangkang tidak boleh banyak berbicara tentang peranan mereka memperkasakan rakyat mahupun membela kebajikan rakyat, jadi ini sahaja mampu mereka buat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan perutusan khas Deepavali hari ini di Wisma HRD Corp yang turut di hadiri oleh Ketua Eksekutif HRD Corp, Datuk Shahul Hameed Dawood.

Sebelum ini beberapa pimpinan termasuk PKR tampil menyoal MIC yang di lihat mendiamkan diri selepas pembubaran di buat menjelangnya sambutan Deepavali hujung bulan ini. -MalaysiaGazette