Friday, March 29, 2024
Home Seni Hidup Search kembali ke Istana Budaya

Search kembali ke Istana Budaya

Kumpulan rock, Search akan muncul dalam Konsert Search Rock On 40 yang akan berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya (IB) pada 4 Disember ini. - Foto Network Sdn Bhd
KUALA LUMPUR – Kumpulan rock legenda tanah air, Search akan mengadakan Konsert Search Rock On 40 di Panggung Sari, Istana Budaya (IB) pada 4 Disember ini.
Vokalis Search, Datuk Suhaimi Abdul Rahman atau Amy meluahkan rasa bangga kerana berpeluang kembali ke pentas berprestij Istana Budaya sekali gus mengimbau nostalgia.
“Menjadi penghormatan buat kami beraksi di Istana Budaya serta bertemu dengan para peminat yang menyokong sejak 40 tahun lalu.
“Selepas lapan tahun, kami kembali dan mempersembahkan rangkaian lagu yang dimainkan ketika zaman membuat persembahan di kelab gig untuk mengimbau kenangan.
“Segmen ini amat bermakna kerana ketika itu kami berjaya merubah landskap industri muzik yang dikuasai irama blues dan reggae,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Foto Network Sdn Bhd.
Sementara itu, pihak penganjur Network Sdn Bhd, Datuk Ab Razif Asmuni berkata, konsert Rock on 40 bertepatan dalam meraikan perkembangan kejayaan muzik rock sejak empat dekat lalu.
“Persembahan mega ini menandakan permulaan siri konsert rock jelajah ke seluruh negeri termasuk Sabah, Sarawak dan Singapura.
“Atas sambutan hebat daripada peminat, kami memilih untuk melanjutkan konsert ini bersama kumpulan legenda Search,” katanya.
Razif juga memberi bayangan bahawa persembahan selama tiga malam di Istana Budaya, Kuala Lumpur akan membawa penonton kembali ke zaman kegemilangan muzik rock Malaysia dan dapat mendengar lagu hits yang jarang dipersembahkan di konsert sebelum ini.
Persembahan Search adalah acara kemuncak konsert Rock On 40 dan menjadi pelengkap kepada siri Rock On 40.
Ini kerana akan ada konsert rock yang menampilkan penyanyi hebat genre muzik ini, seperti Man Kidal, Datuk Awie, Muss, Riz Halim dan Ella pada 2 dan 3 Disember ini.
Harga tiket bermula dari RM168, RM238, RM288, RM388, RM488 dan ruang VVIP berharga RM2,500 untuk sesi ramah mesra dengan melayari menaranetwork.com untuk pembelian tiket. – MalaysiaGazette