sulaiman Parlimen
Sulaiman Md. Ali dan Ab. Rauf Yusoh (kiri).

SEMALAM media melaporkan tentang kesediaan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali bertanding di mana-mana kerusi Parlimen di negeri itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sekiranya diarahkan oleh pucuk pimpinan parti.

Sebelum ini, memang ada kedengaran desas-desus Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu itu mungkin bertanding di kerusi Parlimen Alor Gajah atau Masjid Tanah.

Jika Sulaiman dinamakan sebagai calon Barisan Nasional (BN) di Masjid Tanah, beliau mempunyai misi besar untuk mengembalikan maruah parti di kerusi tersebut.

BN kehilangan kerusi Parlimen Masjid Tanah yang dimenanginya pada PRU-14 setelah penyandangnya yang juga bekas Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati melompat masuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Selain spekulasi kerusi Parlimen mana yang bakal ditandingi Sulaiman, jawatan Ketua Menteri Melaka juga menjadi topik yang sedang hangat diperbualkan.

Adakah Sulaiman akan melepaskan jawatan tersebut selepas memenangi kerusi Parlimen kelak? Jika beliau berbuat demikian, siapakah yang akan menggantikan tempatnya?

Antara nama yang sering disebut-sebut ialah Exco Kanan Industri, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.

Ramai yang membuat andaian beliau berpotensi untuk dipertimbangkan sebagai Ketua Menteri Melaka yang baharu berdasarkan kedudukannya sebagai Exco kerajaan negeri yang terkanan.

Ab. Rauf juga merupakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka serta Pengerusi BN Melaka. ADUN Tanjung Bidara itu juga pernah memegang jawatan Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.

Namun, tidak semestinya kriteria-kriteria tersebut dapat menjamin beliau akan dilantik sebagai Ketua Menteri. Seperti di Johor, pemimpin muda juga berpeluang memegang jawatan tertinggi dalam pentadbiran negeri.

Exco Kesihatan dan Antidadah Melaka, Dr. Muhamad Akmal Saleh yang baru berusia 34 tahun dilihat sebagai seorang pemimpin politik muda yang boleh pergi jauh dan membawa idea serta pendekatan lebih segar dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Andainya beliau dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka satu hari nanti, rakyat akan menilai BN dan UMNO sebagai sebuah parti yang benar-benar komited dalam usaha meremajakan jentera pentadbiran di negeri yang dikuasainya.

Walau bagaimanapun, segala-galanya bergantung kepada keputusan di kerusi Parlimen yang bakal ditandingi Sulaiman nanti dan jika beliau diberi peranan baharu di peringkat kerajaan Pusat selepas PRU-15. – MalaysiaGazette