Usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan membuat dan memulakan penghantaran klip video bersifat sumbang di Mahkamah Sesyen Sepang, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 13 OKTOBER 2022.

SEPANG – Usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman mengaku tidak bersalah terhadap empat pertuduhan memuat naik dan menghantar video bersifat sumbang di laman media sosial pada April lalu.

Aliff Syukri, 35, membuat pengakuan itu dan mohon dibicarakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Ahmad Rizki Abdul Jalil.

Beliau selaku Orang Kena Saman (OKS) didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998 (Akta 588).

Mengikut fakta pertuduhan kes, dia secara sedar melakukan kesalahan memuat dan memulakan penghantaran komunikasi video bersifat sumbang sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu pada 13, 15, 17 dan 21 April lalu, yang dilihat pada jam 2.01 petang 24 April di pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) di Cyberjaya.

Jika sabit kesalahan, Aliff Syukri boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SKMM, Fazril Sani Mohamed Fadzil manakala Aliff Syukri diwakili peguambela, Hasshahari Johari Mawi dan Awang Armadajaya.

Fazril Sani mencadangkan wang jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan dikenakan kepada Aliff Syukri.

Bagaimanapun, peguambelanya merayu mahkamah agar mempertimbangkan jumlah jaminannya iaitu wang berjumlah RM1,500 untuk keempat-empat pertuduhan itu.

“Yang Arif, OKS adalah berusia 35 tahun dan bekerja sendiri selain mempunyai tanggungjawab menyara keluarganya iaitu seorang isteri serta lima anak yang mana tiga bersekolah dan dua lagi anak masih kecil.

“Anak guam saya juga memberikan kerjasama baik kepada pihak berkuasa dan pegawai penyiasat sepanjang proses siasatan berjalan selama ini dan tidak pernah melawan atau mengingkar arahan.

“Hari ini, dia juga hadir sendiri ke mahkamah tanpa paksaan dan tiada risiko untuk melarikan diri daripada undang-undang dan perbicaraan.

“Matlamatnya ialah memastikan kehadiran tertuduh dalam prosiding mahkamah ini, saya boleh beri aku janji anak guam saya untuk hadir dalam prosiding melainkan ada musibah sakit dan sebagainya dan oleh demikian saya merayu agar dikenakan jumlah jaminan minima RM1,500 untuk keseluruhan tuduhan hari ini,” kata beliau.

Namun Fazril Sani memohon nilai yang sama RM10,000 yang dicadangkan beliau diberi pertimbangan bagi memastikan kehadiran ke mahkamah pada masa akan datang.

Setelah mendengar hujah kedua-dua belah pihak, Ahmad Rizki memutuskan ikat jamin sebanyak RM5,000 bagi setiap pertuduhan, iaitu jumlah keseluruhannya berjumlah RM20,000.

Hakim itu menetapkan 25 November ini sebagai tarikh sebutan kes dan serah dokumen.

Sebelum ini, video muzik lagu raya nyanyian Aliff Syukri yang mempunyai unsur komedi dianggap tidak kelakar oleh masyarakat sebaliknya menjadi bahan cemuh gara-gara aksi lembut sekumpulan penari lelaki.

Video berdurasi 5 minit 23 saat dianggap netizen telah dicemari gaya keterlaluan penari lelaki lembut berkenaan.

Malah, ada yang menyifatkan paparan aksi dalam video muzik itu sebagai satu cara halus menormalisasikan penyimpangan fitrah golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di negara ini.

Sementara itu, polis merampas telefon bimbit seorang kakitangan Aliff Syukri yang didapati mengambil gambar di dalam galeri awam yang disifatkan sebagai menghina mahkamah.

Bagaimanapun, Ahmad Rizki melepaskannya dengan memberi amaran selepas individu tersebut memohon maaf atas perbuatan itu. – MalaysiaGazette