GEORGE TOWN – Seruan daripada rakyat, logistik lebih memudahkan sekiranya pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) diadakan serentak dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) antara faktor DAP Pulau Pinang bercadang untuk membubarkan DUN, kata Ketua menterinya, Chow Kon Yeow.
Beliau yang juga Pengerusi DAP negeri berkata, pihaknya telah membawa hujahan terbaik kepada DAP Pusat untuk mengkaji semula ketetapan mengenai pembubaran itu sebelum ia dibawa ke mesyuarat PH Pusat.
“Mesyuarat PH Pusat telah memberi kesempatan mendengar rayuan khususnya daripada DAP Pulau Pinang namun keputusan mengenai pembubaran itu hanya akan diumumkan esok,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan G Hotel di sini hari ini.
Ketika ditanya sama ada beliau kecewa dengan hasil perbincangan mesyuarat PH semalam, Kon Yeow memaklumkan tiada apa yang perlu dikecewakan susulan belum ada sebarang keputusan.
“Belum ada keputusan, apa yang kecewanya,” katanya ringkas.
Semalam, Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Fahmi Fadzil berkata, keputusan sama ada DUN Pulau Pinang akan dibubarkan atau tidak akan diketahui paling cepat dalam tempoh 24 jam ini.
Katanya, mesyuarat Majlis Presiden PH membincangkan cadangan itu, namun memerlukan sedikit masa lagi untuk diputuskan.
“Ada beberapa perkara masih dalam pertimbangan. Sekiranya ada sebarang pengumuman oleh Majlis Presiden PH akan dimaklumkan dalam masa terdekat.
“Kita akan umumkan,” katanya. – MalaysiaGazette