Datuk Suraya Yaacob.

KUALA LUMPUR – Tindakan Ahli Dewan Undangan (ADUN) Sungai Tiang meletakkan jawatan sebagai Exco Kerajaan Kedah satu langkah yang tepat.

Datuk Suraya Yaacob meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air dan Tenaga Kedah.

Pengarah Komunikasi Barisan Nasional Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, Suraya dikenali oleh rakyat Kedah sebagai seorang wakil rakyat mesra rakyat serta sentiasa bekerja keras dengan memberikan sepenuh komitmen terhadap isu-isu di bawah portfolionya.

“Dengan pengumuman pembubaran Parlimen baru-baru ini dan sebagai seorang ahli politik yang baik, keputusan perletakan jawatan Suraya bagi saya membuktikan beliau seorang ahli politik yang berjiwa besar dan terus meletakkan kebajikan rakyat melebihi yang lainnya.

“Kita semua tahu bahawa proses pilihan raya memerlukan fokus dan tenaga yang maksima. Oleh itu, kekal menjawat jawatan dan pada masa yang sama menguruskan satu pilihan raya yang besar hanyalah akan merugikan rakyat sahaja,” katanya dalam kenyataan.

Justeru, menurut Shaiful Haziziy, tindakan Suraya ini amat tepat sekali bagi memastikan kebajikan rakyat terus diberikan perhatian sewajarnya.

“Bagaimanapun, saya percaya perkara ini boleh dielakkan seandainya kerajaan negeri membubarkan DUN. Hal ini bagi memberi peluang sewajarnya kepada setiap ahli politik untuk melakukan tanggungjawab dan tugas mereka kepada parti dan juga para pengundi waima bakal pengundi mereka di kawasan yang bakal ditandingi,” katanya.

Menurutnya, tindakan tidak membubarkan DUN adalah tindakan kejam kerajaan Kedah bukan sahaja kepada rakyat tetapi kepada ahli politik yang meletakkan jiwa dan raga demi membela kepentingan dan kebajikan rakyat.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

ADUN Sungai Tiang umum letak jawatan sebagai Exco Kerajaan Negeri Kedah