KUALA LUMPUR – Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA), Tun Dr. Mahathir Mohamad mempertahankan tindakan 12 menteri Perikatan Nasional (PN) mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong meminta supaya Parlimen tidak dibubarkan.
Menurut Mahathir yang juga Pengerusi Pejuang, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak seharusnya menyalahkan tindakan yang diambil oleh 12 menteri terbabit.
Mahathir yang akan mempertahankan Parlimen Langkawi pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 berkata, parti komponen dalam kerajaan campuran yang diterajui Ismail Sabri berhak memberi pandangan.
“PRU awal. Wahai PM, tak usahlah salahkan PN 12. Walaupun PM berhak membuat keputusan sendiri tetapi dalam Kerajaan campuran pengetahuan dan persetujuan parti komponen berhak memberi pandangan mereka.
“Memang pun UMNO yang hendak PRU awal. Pedulikan banjir. Yang penting ialah UMNO menang dan penjenayah-penjenayah elak dari dihukum segera,” kata Mahathir dalam kenyataan hari ini.
Pada 11 Oktober lalu, Ismail Sabri berkata, tindakan tidak wajar 12 menteri Kabinet yang mengutuskan warkah kepada Yang di-Pertuan Agong mencetuskan ketidakharmonian dalam pentadbiran kerajaan.
Ismail Sabri berkata, tindakan 12 menteri terbabit jelas membelakangkan institusi Perdana Menteri yang mana pelantikannya diperkenan Yang di-Pertuan Agong.
Tindakan mereka telah mengikis semangat solidariti dalam pentadbiran kerajaan.
Menurutnya, sejak akhir-akhir ini ada dalam kalangan Jemaah Menteri yang membuat kritikan secara terbuka terhadap keputusan dan dasar kerajaan.
“Malah, tindakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengisytiharkan musuh utama PN adalah Barisan Nasional (BN) mengundang bibit-bibit perpecahan, sedangkan partinya turut menganggotai kerajaan.
“Muhyiddin juga selaku Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) pernah membuat kenyataan yang menyarankan supaya Parlimen dibubarkan kerana mendakwa kerajaan gagal dalam menguruskan negara dan ekonomi dengan baik,” katanya.
Kenyataan Ismail Sabri itu merujuk kepada siaran media Istana Negara yang menyatakan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan kekecewaan terhadap perkembangan politik semasa tanah air.
Dalam kenyataan itu, Al-Sultan Abdullah turut memberi perkenan kepada pembubaran Parlimen.
Sebelum itu media melaporkan 12 anggota Jemaah Menteri daripada Perikatan Nasional (PN) menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong untuk tidak menyokong pembubaran Parlimen.-MalaysiaGazette