Naib Canselor UTeM, Prof Ts Dr Massila Kamalrudin beramah mesra dengan ibu bapa pelajar baharu UTeM di Dewan Canselor, Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal, Melaka.

MELAKA – Universiti Teknikal Melaka (UTeM) menerima seramai 2,043 orang pelajar baharu program Ijazah Sarjana Muda untuk sesi 2022/2023.

Proses pendaftaran pelajar dijalankan di Dewan Canselor, Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal, Melaka, baru-baru ini.

Naib Canselor UTeM, Prof Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, jumlah kemasukan pelajar ke UTeM pada tahun ini mendapat sambutan yang sangat baik.

Sebahagian daripada pelajar baharu UTeM sewaktu proses pendaftaran.

Jelas Massila, UTeM terus menjadi pilihan lepasan matrikulasi, diploma dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bagi melanjutkan pengajian di peringkat sarjana muda.

Katanya, seramai 619 pelajar mendaftar untuk mengikuti pengajian program teknologi kejuruteraan di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE) serta Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FTKMP).

“Sementara itu seramai 660 pelajar lagi mendaftar untuk mengikuti pengajian dalam bidang kejuruteraan di empat fakulti kejuruteraan iaitu Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE), Fakulti Kejuruteraan Elektronik dan Kejuruteraan Komputer (FKEKK), Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM) dan Fakulti Kejurteraan Pembuatan (FKP).

Sebahagian daripada pelajar baharu UTeM bersama keluarga mereka sewaktu pendaftaran masuk ke asrama.

“Mereka yang telah mendaftar bagi mengikuti pengajian dalam bidang Sains Komputer dan Teknologi Maklumat di Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK) pula seramai 385 orang.

“Selebihnya yang telah mendaftar bidang Pengurusan Teknologi dan Teknousahawanan di Fakulti Pengurusan Teknologi dan Teknousahawan (FPTT) pula seramai 379 orang,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, penzahiran prestij kecemerlangan UTeM dalam bidang akademik, penyelidikan dan inovasi dalam dan luar negara menjadikan UTeM antara institusi pengajian tinggi pilihan utama pelajar.

Sebahagian daripada pelajar baharu UTeM bersama keluarga mereka sewaktu pendaftaran masuk ke asrama.

Katanya, kadar kebolehpasaran graduan berprestasi tinggi serta global yang menjadi buruan majikan juga telah melonjakkan UTeM sebagai destinasi utama gerbang pengajian tinggi teknikal pilihan ramai.

Massila berkata, pelajar-pelajar menjalani Minggu Haluan Siswa (MHS)  bersama pelajar baharu diploma yang mendaftar pengajian di universiti berkenaan pada awal Ogos lalu, bermula  Rabu hingga Ahad lepas. – MalaysiaGazette