Ramai dalam kalangan kita tidak sedar sebenarnya terdapat sebuah penempatan atau perkampungan di Mekah yang diberi nama Ajyad Alssad.

MEKAH – Ramai dalam kalangan kita tidak sedar sebenarnya terdapat sebuah penempatan atau perkampungan di Mekah yang diberi nama Ajyad Alssad.

Yang menariknya, penempatan itu ada kaitan dengan rakyat Malaysia yang tinggal di sana sejak awal tahun 70-an lagi hingga kini.

Kawasan terletak di lereng bukit dengan pemandangan cantik dan dapat melihat sekitar Masjidilharam sebelum ini merupakan kawasan kering kontang tanpa penghuni.

Ia diberi nama Ajyad yang membawa maksud ‘kuda liar’ manakala Alssad pula membawa maksud ‘benteng’ kerana itu penempatan itu terletak di lereng bukit tidak jauh dari Masjidilharam.

Pada awal tahun 70-an, seorang penduduk dari Kelantan, Usop Jaafar telah datang ke Mekah menaiki kapal laut yang terakhir untuk mengerjakan ibadah haji.

Dikhabarkan jemaah itu kemudian menetap di Ajyad Alssad yang dihuni oleh banyak kuda dan keldai liar dan mendirikan sebuah penempatan sementara.

Ketika itu rumah yang didirikan merupakan kediaman pertama di kawasan berkenan.

Bermula dari situ, kawasan itu kemudian mula dihuni oleh penduduk lain terutama yang datang dari luar Arab Saudi.

“Bermula dari datuk saya mendirikan rumah, kini sudah ada lebih 200 orang tinggal di sini termasuk kira-kira 50 rakyat Malaysia manakala yang lain datang dari Pattani, Pakistan dan beberapa negara lain.

Ahmad Muhammad Yaacob

“Dengan bertambahnya penduduk, sebuah masjid didirikan dan diberi nama Masjid Kelantan,” kata Imam Masjid Kelantan di penempatan Ajyad Alssad, Ahmad Muhammad Yaacob Sulaiman Daud Alhasani.

Ahmad Muhammad, 49, merupakan cucu kepada Usop.

Beliau yang merupakan rakyat Malaysia tetapi dilahirkan di Mekah telah menetap di penempatan berkenaan sejak lahir dan hanya tiga kali sahaja berpeluang pulang ke tanah air.

Selain nama Ajyad Alssad, ada juga dalam kalangan rakyat Malaysia memanggil penempatan itu sebagai Kampung Kelantan atau Kampung Malaysia.

Ahmad Muhammad memberitahu, Ajyad Alssad sentiasa menjadi tumpuan rakyat Malaysia sejak dulu lagi tidak kira musim haji atau umrah.

Jelasnya, rakyat Malaysia yang berkunjung ke Ajyad Alssad antara lain bagi merapatkan silaturahim selain meminta penduduk mengaturkan program doa selamat, tahlil dan sebagainya.

“Ada jemaah yang berkunjung ke sini meminta disediakan masakan nasi Arab,” katanya.

Difahamkan, sejak musim haji baru-baru ini iaitu selepas Perintah Kawalan Pergerakan, setiap hari boleh dikatakan ada sahaja majlis atau program jemaah Malaysia di Ajyad Alssad sama ada di rumah penduduk Malaysia atau Masjid Kelantan.

Sesuatu yang amat menarik, setiap kali masuk waktu solat, azan akan dilaungkan oleh anak Ahmad Muhammad yang bernama Bilal, berusia enam tahun.

Menjawab pertanyaan, beliau berkata, selain Masjid Kelantan, terdapat sebuah masjid lain yang turut didirikan di penempatan tersebut memandangkan penambahan penduduk.

“Di Masjid Kelantan sahaja, jemaahnya bukan sahaja rakyat Malaysia malah ada dari kalangan rakyat negara luar sepeti Thailand, Pakistan dan sebagainya,’’ katanya.

Ahmad Muhammad menambah, Masjid Kelantan turut disemarakkan dengan pengajian agama Islam bagi mereka yang datang untuk menambah ilmu agama.

Sementara itu, Perunding Umrah dan Ziarah Hi-Fly Travel & Tours, Izudin Muhamad Amin bersama rombongan jemaah Malaysia memberitahu, kunjungan ke Ajyad Alssad antara aktiviti ziarah setiap kali mengerjakan umrah dan haji di Mekah.

Menurutnya, kunjungan ke Ajyad Alssad adalah atas permintaan jemaah yang mahu mengadakan majlis tahlil dan doa selamat selain merapatkan hubungan sesama rakyat Malaysia.

“Selalunya para jemaah akan meminta orang Malaysia di Ajyad Alssad menyediakan masakan istimewa terutama nasi Arab,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast