Gambar pertemuan Ahmad Zahid Hamidi bersama Abdul Hadi Awang yang dikongsi di Facebook Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR – Parti Bersatu menjanjikan sebanyak 47 kerusi boleh menang kepada Pas sekiranya parti itu kekal bersama-sama Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Jumlah itu dimaklumkan dalam pertemuan empat mata antara Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sehari sebelum Pas membuat keputusan untuk kekal bersama PN.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang berkongsi foto pertemuan itu di Facebooknya berkata, UMNO menerima kehadiran pemimpin Pas tersebut sebagai ikhtiar terakhir untuk menyelamatkan kerjasama kedua-dua parti.

“Sebagaimana PRN Melaka dahulu, UMNO menawarkan 5 kerusi DUN boleh menang kepada PAS untuk ditandingi walaupun Bersatu menjanjikan 11 kerusi kepada Pas.

“Begitu juga pada pertemuan kali ini, Pas menegaskan bahawa jika bersama PN, Bersatu menjanjikan 47 kerusi boleh menang kepada Pas.

“Namun bagi UMNO, perundingan untuk kembali mengukuhkan MN kali ini lebih besar daripada sekadar perkiraan untung rugi kerusi-kerusi yang bakal diperkongsikan bagi menghadapi PRU15,” katanya.

Turut hadir timbalan presiden kedua-dua parti iaitu Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Datuk Seri Mohamad Hasan.

Asyraf Wajdi berkata, sebelum pertemuan itu berlangsung seorang pimpinan tertinggi Pas datang membawa mesej bahawa Majlis Syura Pas dan Muktamar Pas telah membuat resolusi mahukan hubungan Pas dan UMNO dipulihkan kembali.

Selain itu Dewan Ulamak Pas juga membuat resolusi supaya hubungan kedua-dua parti dipulihkan.

“Ini merupakan gambar pertemuan 8 mata antara Presiden dan Timbalan Presiden kedua-dua parti UMNO dan Pas pada hari Rabu 12 Oktober 2022, sehari sebelum Pas akhirnya membuat keputusan kekal bersama Bersatu-Perikatan Nasional.

“Pertemuan ini adalah ikhtiar terakhir UMNO untuk berlapang dada menerima Pas bagi menyelamatkan Mufakat Nasional yang digagaskan bersama sewaktu 22 bulan sama-sama menjadi pembangkang, atas deraian air mata kesyukuran, bagi menoktahkan permusuhan politik puluhan tahun hingga menjejaskan persaudaraan sesama Islam,” kata Asyraf Wajdi.

Menurutnya, sebagai sebuah parti perjuangan, UMNO tidak akan pernah patah semangat walaupun madu dibalas tuba.

Perjuangan demi agama, bangsa dan tanah air adalah landasan yang akan diperluaskan oleh UMNO.

Parti itu yakin rekod perjalanan yang panjang telah banyak menyaksikan kerjasama atas sifat berkepentingan bukannya keikhlasan semata-mata hanya menatijahkan pengkhianatan dan kerosakan.

“Apa-apapun Allah menjadi saksi bahawa usaha semaksimumnya telah dilakukan untuk menyelamatkan agenda penyatuan ummah terutamanya permuafakatan UMNO-Pas, demi memastikan umat Islam terutamanya jutaan ahli kedua-dua parti induk umat Islam-Melayu ini dapat dipertautkan kembali.

“Mungkin ada hikmah yang Allah rahsiakan kepada kita semua di sebalik episod ini,” kata Asyraf Wajdi.

Pas semalam memutuskan untuk memilih PN sebagai sekutu menghadapi PRU15.

Abdul Hadi berkata, keputusan itu dibuat atas prinsip penyatuan ummah.-MalaysiaGazette