Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak

KUALA LUMPUR – Polis menahan empat individu kerana terlibat dalam pergaduhan di kawasan Jalan Seri Merdeka Satu, dekat Ampang, tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, keempat-empat suspek yang merupakan lelaki didapati mabuk dan punca pergaduhan disebabkan salah seorang suspek meminta rakan-rakannya agar tidak membuat bising.

Bagaimanapun katanya, berlaku pertengkaran sesama mereka hingga membawa kepada pergaduhan.

“Kita telah pun menahan kesemua suspek yang berusia lingkungan 26 hingga 54 tahun di dua lokai iaitu di Taman Merdeka Ampang dan Bandar Baru Ampang,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohamad Farouk berkata, kesemua yang ditahan bekerja sebagai penghantar barang, tukang masak, pemandu bas manakala seorang lagi penganggur.

Katanya, polis merampas sebuah pistol gam yang ditujukan kepada salah seorang suspek untuk menakut-nakutkannya.

Turut dirampas jelas beliau, sebuah topi keledar dan sebuah motosikal jenis Yamaha Lagenda 115.

Tambah Mohamad Farouk, berdasarkan semakan seorang daripada suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau, dua suspek masing-masing memiliki satu rekod kesalahan jenayah manakala seorang lagi memiliki lima kes jenayah lampau.

Ujarnya, ujian saringan air kencing mendapati kesemua mereka bebas daripada sebarang pengambilan dadah.

Kes disiasat bawah Seksyen 148 Kanun keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan, katanya. – MalaysiaGazette