Gambar hiasan

MALAYSIA di ambang pilihan raya umum ke 15 yang dijangka dilaksanakan dalam tempoh masa yang terdekat. Kehangatan kempen pilihan raya oleh jentera parti sudah mula dirasai. Masyarakat dibuai ombak pilihan raya buat kesekian kalinya: ada yang berenang dan menang; ada yang mabuk dan menjauhinya; ada yang lemas dan lelah; ada yang karam dan musnah.

Manifesto parti kelihatan kemas dan cantik dicetak. Kepimpinan yang ditawarkan jika terpilih amat sempurna dan mengagumkan telinga yang mendengar. Namun fikiran yang bersandarkan model kepimpinan Rasulullah SAW akan terus berteka teki tanpa henti meragui pelaksanaannya nanti. Adakah integriti sekadar meniti di bibir atau berjaya hidup dan mekar dalam jangka hayat kepimpinan tersebut?

Ironinya, isu integriti pemimpin terus meniti bibir masyarakat yang tidak berpuas hati dengan kemunculan kes-kes rasuah yang melibatkan pucuk pimpinan negara mahupun organisasi kerajaan disebabkan ketirisan integriti. Sesebuah negara, institusi dan organisasi mendambakan ahli, kakitangan, rakyat dan pemimpin yang berintegriti, amanah, jujur, bijaksana, matang, berkaliber dan berpuluh-puluh lagi kualiti baik. Secara umumnya, jika dikemukakan pertanyaan kepada pengundi apakah aspek yang mereka pilih, jawapannya adalah rencam. Pendek kata ada golongan yang memilih kualiti diri pemimpin yang mantap karakternya, bersih dan bebas rasuah dalam pemilihan mereka setiap kali musim pilihanraya.

Namun kekecewaan demi kekecewaan menjelma seolah-olah belenggu kebejatan sosial rasuah masih menjerat kehidupan masyarakat. Hari demi hari berita rasuah disajikan dalam media sosial. Dulu dan kini ia realiti bukan mimpi yang bertepi. Segelintir individu di pelbagai peringkat bersikap mengenepikan integriti, justeru rasuah dirai. Masalah ini telah menjadi kudis yang perlu dirawat rapi sebelum membarah dalam masyarakat madani.

Rasuah amat dikeji dan diperangi oleh Baginda Rasulullah SAW. Kepimpinan Rasulullah SAW adalah manifestasi wahyu dan perintah daripada Allah SWT. Justeru umat Islam perlu mempelajari dan memahami selok belok ilmu kepimpinan yang diaplikasikan oleh Baginda SAW agar terjamin kelestarian Baldatun Tayyibatun wa Rabbun Ghafur. Firman Allah SWT yang bermaksud: dan janganlah kamu memberi rasuah kepada hakim-hakim supaya kamu dapat mengambil sebahagian daripada harta orang dengan cara berbuat dosa padahal kamu mengetahui salahnya.(Al-Baqarah: ayat 188).

Pemilikan harta secara batil atau penipuan tidak menjanjikan ketenangan dan kesenangan yang sebenar. Malah hukumnya haram dan tiada keberkatan. Rasulullah SAW mengingatkan kita melalui sabdanya yang bermaksud: tidak akan memasuki syurga, daging yang tumbuh daripada sumber yang haram; api neraka lebih layak baginya. (Riwayat Imam Ahmad) Masyarakat patut sedar dan maklum setiap kategori rasuah yang digariskan oleh SPRM dan undang-undang agar terselamat daripada amalan yang merosakkan ini. Beberapa hadis yang diriwayatkan oleh sunan sittah iaitu Sunan Abi Daud (No 3580), Sunan Al-Tirmizi (No 1337) dan Sunan Ibn Majah(No 2313) antaranya menyatakan bahawa Rasulullah SAW melaknat pemberi dan penerima rasuah. Di samping itu, Rasulullah SAW dalam hadis lain turut melaknat sesiapa sahaja yang terlibat dengan rasuah seperti orang tengah dan seumpamanya.

Maksud hadith riwayat Thaubah RA: Rasulullah SAW melaknat pemberi rasuah, penerima rasuah dan perantara yang bersifat perantara kedua-duanya. Isu rasuah akan lenyap apabila pemimpin dan rakyat memperjuangkan integriti dan mengamalkannya dalam segenap aspek kehidupan. Integriti menagih keberanian dan kecekalan hati serta minda. Lembaran Sejarah Islam telah membuktikan pembentukan karekter Rasulullah SAW yang tinggi integriti ketika menjalankan perniagaan tuannya di negara Syam.

Tuntasnya Baginda digelar al-Amin yang boleh disinonimkan dengan integriti. Satu lagi contoh integriti Rasulullah SAW dalam penghakiman melalui kisah yang popular dalam masyarakat Islam di mana Baginda bersumpah sekiranya anakandanya Saidatina
Fatimah RA mencuri nescaya Baginda SAW akan memotong tangannya. Umum mengetahui bahawa Saidatina Fatimah RA merupakan anak kesayangan Rasulullah SAW. Itu lah contoh dan model yang mesti diikuti oleh umat Nabi Muhammad dalam kelestarian ajaran Islam dan manifestasi iman dan taqwa kepada Allah SWT.

Tengkolok sampin pakaian tradisi
Warisan seni indah menawan
Integriti pemimpin perlu diwarisi
Berani berperang rasuah ditawan

Oleh: Aizan Ali@Mat Zin
Pensyarah Kanan,
Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam
Akademi Pengajian Islam
Universiti Malaya

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast