Lim Guan Eng
Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Pengerusi DAP, Lim Guan Eng diingatkan bahawa Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan mendiang Datuk Liew Vui Keong belum mengangkat sumpah sebagai menteri Kabinet ketika kerajaan memutuskan untuk menarik balik permohonan semakan kehakiman terhadap kedaulatan Pulau Batu Puteh pada 23 Mei 2018.

Pentadbir laman Facebook Najib Razak berkata, Saifuddin dan Vui Keong mengangkat sumpah masing-masing sebagai Menteri Luar dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) pada 1 Julai 2018.

Menurut beliau, Guan Eng serta bekas Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu; bekas Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengangkat sumpah pada 21 Mei 2018.

“Keputusan untuk melepaskan Pulau Batu Puteh dibuat dalam mesyuarat Kabinet pertama Kerajaan PH pada 23 Mei 2018. Lalu diumumkan serta-merta pada hari yang sama,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Semalam, FMT melaporkan, Guan Eng berkata, dua menteri dalam Kabinet PH iaitu Saifuddin dan Vui Keong mengesyorkan supaya Malaysia menarik balik permohonan semakan kehakiman terhadap kedaulatan Batu Puteh yang diberikan kepada Singapura.

Bekas Menteri Kewangan era PH itu memberitahu, walaupun beliau tidak ‘mengikuti’ isu Batu Puteh, tetapi dalam ingatannya, syor itu dikemukakan mereka dalam mesyuarat Kabinet.

Pengendali laman Facebook Najib Razak mempersoalkan bagaimana Guan Eng dan Vui Keong boleh mengemukakan syor dalam mesyuarat Kabinet pada 23 Mei 2018 sedangkan mereka belum dilantik sebagai menteri dan belum mengangkat sumpah pada hari tersebut.

“Minta penjelasan Guan Eng,” katanya.

Kelmarin, Perdana Menteri Interim, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Dr. Mahathir mungkin melakukan kecuaian dan kekhilafan dalam isu pertikaian Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

Beliau berkata, mesyuarat Kabinet pada 7 Oktober lalu dimaklumkan mengenai terdapat kemungkinan kecuaian dan kekhilafan Dr. Mahathir apabila Malaysia terlepas peluang untuk memfailkan permohonan semakan terhadap keputusan penghakiman Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 2008, dan permintaan tafsiran Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan selepas Dr. Mahathir membuat keputusan untuk tidak meneruskan permohonan semakan dan pentafsiran penghakiman pada 11 Jun 2018.

Ismail Sabri menambah, Kabinet turut bersetuju dengan cadangan Pasukan Petugas Khas agar tindakan perundangan berkaitan isu tersebut diteruskan di ICJ serta tindakan sewajarnya diambil untuk mempertahankan kedaulatan negara. – MalaysiaGazette