BATU PAHAT – Kepakaran, kemahiran dan ilmu yang ada di institusi pengajian tinggi (IPT) perlu dimanfaatkan dan disumbangkan kepada masyarakat setempat melalui program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, program CSR ini akan dapat memperkukuh kerjasama yang sudah sedia terjalin antara pelbagai agensi di bawah KPT dengan IPT, khususnya dalam usaha menyebar luas manfaat kepada masyarakat setempat.
“Di KPT, kita mempunyai ramai pakar dalam pelbagai bidang seperti pendidikan, ekonomi komuniti, kelestarian dan teknologi hijau, pembangunan kemahiran komuniti, kesejahteraan sosial, kesihatan dan pelbagai lagi,” katanya pada majlis Taklimat Pelaksanaan Program TVET UNITY@Parit Sulong, di sini, hari ini.
Program TVET UNiTY@Parit Sulong dilaksanakan di 43 kawasan di Parlimen Parit Sulong dan melibatkan 16 agensi KPT.
Kata Noraini, KPT melaksanakan aktiviti CSR melalui Program TVET UNiTY dengan memfokuskan kepada perkongsian dan perpindahan teknologi serta pengetahuan kepada komuniti setempat melalui aktiviti-aktiviti kemasyarakatan berdasarkan bidang TVET.
Terdapat lapan aktiviti utama program TVET UNITY iaitu, menyelenggara dan membaiki kenderaan ringan; pemasangan solar; membaik pulih alatan kawalan, sistem pembumian dan pendawaian elektrik rumah; serta penyelenggaraan sistem penghawa dingin dan sistem pendawaian elektrik masjid/surau.
“Aktiviti-aktiviti lain ialah penyelenggaraan sistem perpaipan bekalan air, membina semula rumah golongan berkeperluan, membaik pulih rumah golongan berkeperluan, serta Knowledge Transfer Program (KTP) UNiTY,” jelasnya.
“Ia dilaksanakan bertujuan untuk berkongsi dan memindahkan teknologi serta pengetahuan yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat setempat dengan melaksanakan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan berdasarkan bidang TVET daripada IPT seperti awam, elektrik, automotif dan penyaman udara.
“Selepas ini wakil agensi KPT dan penyelaras lokaliti akan turun ke padang untuk meninjau dan mengenalpasti aktiviti/projek yang sesuai untuk dilaksanakan,” katanya.
Tambah beliau, pelaksanaan Program TVET UNiTY di Parit Sulong adalah sebagai titik permulaan kepada pelaksanaannya sebelum dikembangkan lagi sayap penganjuran ke seluruh negara.
“Sesungguhnya, ia adalah kesinambungan kepada keprihatinan KPT dan agensi-agensi di bawahnya dalam usaha menyantuni masyarakat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette