Ketua Puteri UMNO Bahagian Jerantut, Faezah Ishak menyampaikan taklimat ringkas pada Majlis Ringkas Penubuhan Puteri UMNO Cawangan Kuala Sat di Kampung Beneh, Jerantut, Pahang. Foto AFFAN FAUZI, 14 OKTOBER 2022.

JERANTUT – Sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) – UMNO Bahagian Jerantut mengutamakan penglibatan semua pihak dalam parti itu sehingga ke akar umbi.

Justeru, penubuhan Jawatankuasa Penaja Pergerakan Puteri UMNO Cawangan Kuala Sat di sini malam tadi dilihat penting bagi  memperkukuh gerakan parti itu menjelang pilihan raya nanti.

Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Jerantut, Faezah Ishak yakin penubuhan sayap puteri itu akan memainkan peranan sebagai sokongan kuat kepada Barisan Nasional (BN).

“Sebab kita di sini di DUN (Dewan Undangan Negeri) Tahan ada misi iaitu untuk merampas kembali DUN Tahan dan DUN Damak,” katanya dalam majlis ringkas penubuhan Jawatankuasa Penaja Puteri UMNO Cawangan Kuala Sat di Kampung Beneh di sini malam ini.

Ketua Puteri UMNO Bahagian Jerantut, Faezah Ishak menyampaikan taklimat ringkas pada Majlis Ringkas Penubuhan Puteri UMNO Cawangan Kuala Sat di Kampung Beneh, Jerantut, Pahang. Foto AFFAN FAUZI, 14 OKTOBER 2022.

Beliau berkata, meskipun BN tidak memenangi DUN Tahan ketika Pilihan Raya Umum-14 (PRU-14) namun Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kuala Sat memperoleh majoriti undi yang besar.

Ekoran itu, katanya, UMNO Bahagian Jerantut menyasarkan pertambahan majoriti undi di DUN  Kuala Sat seterusnya merampas kembali kerusi DUN Tahan yang dimenangi Pas dengan majoriti tipis iaitu hanya 69 undi pada PRU-14.

“Kita juga komited untuk mempertahankan kerusi DUN Pulau Tawar dan Parlimen Jerantut dalam PRU-15 kelak,” tambahnya.

Menurut Faezah, tidak kira siapa pun calon  yang dipilih bertanding nanti, jentera parti tetap akan digerakkan bagi berkempen untuk memenangi kerusi sasaran mereka termasuk Jawatankuasa Penaja Puteri UMNO Cawangan Kuala Sat yang baharu ditubuhkan.

“Insya-Allah tahun depan kita boleh terus ke perwakilan dan saya yakin inilah jentera yang menggerakkan dan menolong untuk memenangkan PDM di Kampung Kuala Sat ini,” jelasnya.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Penerangan UMNO Bahagian Jerantut, Datuk Rozilan Salleh; Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Jerantut, Muhamad Faizal Jamlus serta barisan Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Jerantut.-MalaysiaGazette