Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berucap pada Program Jalinan Mesra Deepavali Prihatin Rakyat di SJK Cina Dengkil, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 16 OKTOBER 2022.

SEPANG – Walaupun semakin sering dilihat turun padang di daerah Sepang namun Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Seri Rina Harun sehingga kini tetap mengunci mulut untuk mengesahkan beliau bakal bertanding Parlimen itu.

Sebaliknya beliau berkata, jawatannya sebagai Ketua Srikandi Bersatu Bahagian Sepang memberinya peluang kerap mengadakan program di daerah berkenaan.

Dalam masa yang sama beliau berkata,  Sepang dekat di hatinya kerana merupaka  tempat kelahiran ibu dan sanak keluarganya menetap.

“Sama ada suka atau tidak, kita suka semua tempat cuma di Sepang tempat kelahiran ibu saya, ramai daripada ahli keluarga saya berada di sini, dari segi politik saya mula menceburkan diri di Sepang juga.

“Di mana-mana sahaja bertanding, biarlah  keputusan itu diputuskan kepimpinan parti,” katanya.

Terdahulu, Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPMWKM) itu ditemui di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina, Dengkil bagi menghadiri Program Jalinan Mesra Deepavali Prihatin.

Seramai, 500 orang daripada keluarga masyarakat India kategori B40 menerima bantuan Deepavali hari ini.

Untuk rekod, pada Pilihan Raya Umum Ke-14 yang lalu Rina yang bertanding atas tiket Pakatan Harapan (PH) memenangi kerusi Parlimen Titiwangsa mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan calon Pas, Mohamad Noor Mohamad.

Beliau memperoleh 23,840 undi dan memenangi kerusi itu dengan majoriti 4139 undi, manakala Johari yang juga penyandang kerusi itu mendapat 19,701 undi dan Mohamad dengan 6845 undi.

Manakala di Sepang, Mohamed Hanipa Maidin berjaya mengekalkan kemenangan di kerusi Parlimen Sepang selepas meraih 46,740 undi.

Beliau menewaskan calon BN, Datuk Marsum Paing dengan majoriti 18,705 undi.

Marsum mendapat sebanyak 28,035 undi manakala calon Pas, Sabirin Marsono memperoleh 15,882 undi.-MalaysiaGazette