BN Mohamad Hasan
Mohamad Hasan (tengah) merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Rembau di Seremban, hari ini.

SEREMBAN – Barisan Nasional (BN) perlu memberi tumpuan kepada kerusi-kerusi Parlimen yang kalah tipis pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dan dengan segera menyelesaikan isu-isu yang timbul.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, tindakan itu perlu supaya sasaran memenangi sekurang-kurangnya 112 kerusi Parlimen dapat dicapai.

Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO memberitahu, apa yang penting adalah BN dapat menubuhkan kerajaan pada PRU15.

“Itu sasaran kita kalau kita boleh menang banyak lebih baik dan di kawasan‐kawasan yang kita dulu kalah tipis, beri tumpuan lebih oleh kepimpinan di bawah sana.

“Beberapa perkara, isu-isu yang perlu diselesaikan segera supaya tidak lagi mengulangi kesilapan pada PRU14,” katanya yang juga Ketua UMNO Bahagian Rembau.

Mohamad berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Rembau di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau, Khairy Jamaluddin; Naib Ketua Bahagian, Datuk Seri Dr. Awaludin Said dan Setiausaha Bahagian, Datuk Azman Hasan.

Pada majlis sama, Mohamad turut melancarkan jentera pilihan raya UMNO bagi Parlimen Rembau.

Dalam perkembangan sama, beliau meminta kajian sikap pengundi dilakukan lagi sebelum dan selepas hari penamaan calon.

Mohamad berkata, kajian sikap yang pernah dilakukan sebelum ini mesti dibilas semula agar ia dapat dikemas kini.

“Sikap pengundi berubah-ubah mengikut keadaan dan isu-isu semasa jika boleh buat dry run sebelum tarikh penamaan calon dan sekali lagi selepas penamaan calon.

“Mungkin ada gegaran di kawasan masing-masing agar kita punya kajian sikap tersebut tidak lari jauh daripada apa yang kita sasarkan,” jelasnya.

Berhubung pembahagian kerusi, Mohamad memberitahu, setakat ini BN belum mencapai kata putus.

“Kita akan berjumpa dengan semua kepimpinan parti-parti komponen MCA, MIC dan PBRS untuk memastikan pembahagian kerusi dibuat sebaik mungkin,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast